Hafifihafiz Hanafi muncul wira untuk menjulang Perak selaku juara edisi ke-55 TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 yang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh Perak selepas jaringan pukulan sudut penalti pada minit-minit akhir mengangkat Perak selaku juara menewaskan juara edisi lalu, Terengganu 3-2.
Corak permainan laju ditampilkan oleh kedua-dua pasukan bagi mencari gol awal namun kelebihan dua pukulan sudut penalti yang dimiliki Terengganu dan satu oleh Perak sebelum tamat separuh masa pertama tidak berjaya untuk digunakan dengan sebaiknya.
Beberapa saat sebelum wisel separuh masa ditiupkan, Perak menerusi Muhammad Najib Abu Hassan bijak untuk menggunakan kekalutan yang berlaku dihadapan pintu gol Terengganu untuk meledak gol pertama sekaligus menyaksikan Muhamad Hafizuddin Othman tertewas.
Memasuki suku ketiga, Terengganu terus menggandakan usaha untuk mengikat kedudukan dan kelebihan dua pukulan sudut penalti berturut-turut yang dimiliki pada minit ke-35 akhirnya membuahkan hasil selepas Faizal Saari bijak melakukan flik mencari sudut atas kanan pintu gol untuk menewaskan Roslan Jamaluddin.
Fitri Saari hampir meletakkan Terengganu dihadapan beberapa saat sebelum tamat suku ketiga menerusi gerakan padang namun percubannya mencari sudut bawah sebelah kanan berjaya dibaca dan diselamatkan oleh Roslan.
Minit ke-53 Muhammad Haziq Samsul bijak untuk menggunakan ruang disebelah kanan pintu gol yang tidak dikawal untuk menewaskan Hafizuddin dan meletakkan tuan rumah dihadapan 2-1.
Tiga minit kemudian Terengganu kembali mengikat kedudukan 2-2 apabila pukulan sudut penalti yang kelima diterima oleh mereka disudahkan dengan sempurna oleh Faizal Saari sekali lagi.
Seminit sebelum masa sebenar perlawanan tamat, Hafifihafiz Hanafi muncul wira untuk menobatkan Perak selaku juara selepas jaringan pukulan sudut penalti disempurnakannya untuk menjadikan kedudukan akhir 3-2.
Keputusan tersebut menyaksikan Perak selaku juara pulang dengan RM 10,000 dan Terengganu selaku naib juara membawa pulang wang kemenangan RM 7,000.
Terdahulu dalam perlawanan akhir divisyen dua yang menemukan Selangor dan Perlis berkesudahan dengan Perlis muncul juara selepas berjaya mengetepikan cabaran Selangor, 2-0.
Perlis membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi jaringan pemain muda mereka, Azhad Akmal Mohd Fahmi. Tidak terhenti setakat itu, Azhad Akmal sekali lagi muncul pemusnah harapan Selangor apabila bijak untuk menyudahkan bola hantaran Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil untuk meledak gol kedua yang memuktamatkan kemenangan Perlis.
Selaku juara divisyen dua, Perlis membawa pulang hadiah kemenangan RM 5,000 dan akan beraksi di divisyen satu bagi musim 2018, sementara Selangor selaku naib juara menerima RM 3,000.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat divisyen satu, jaringan tunggal Muhammad Farid Ziyad Mohd Shah pada minit ke-10 membantu Melaka untuk muncul pemenang tempat ketiga ketika menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dan Melaka menerima RM 5,000 sementara bagi divisyen dua, ATM mengesahkan kedudukan tempat ketiga selepas menewaskan Pahang 4-3 dan membawa pulang hadiah kemenangan RM 2,000.
Keputusan Akhir TNB Piala Tun Abdul Razak 2017:
Divisyen Dua
Juara: Perlis
Naib Juara: Selangor
Ketiga: Angkatan Tentera Malaysia
Pemain Terbaik Keseluruhan: Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (Perlis)
Penjaga Gol Terbaik: Faizal Aziz (Perlis)
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Azhad Akmal Mohd Fahmi (Perlis)
Anugerah Fair Play: Angkatan Tentera Malaysia
Penjaring Terbanyak: Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (Perlis) – 7 Gol
Divisyen Satu
Juara: Perak
Naib Juara: Terengganu
Ketiga: Melaka
Pemain Terbaik Keseluruhan: Marhan Jalil (Negeri Sembilan)
Penjaga Gol Terbaik: S. Kumar (Negeri Sembilan)
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Muhammad Haziq Samsul (Perak)
Anugerah Fair Play: Negeri Sembilan
Penjaring Terbanyak: Faizal Saari (Terengganu) – 7 Gol









