KUALA LUMPUR (20 November 2017): Pasukan hoki wanita Johor kembali menghidupkan peluang untuk merebut tempat ke separuh akhir saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 selepas bangkit daripada ketinggalan sekaligus menewaskan Melaka 2-1 dalam perlawanan kumpulan B di Stadium Hoki Lumpur petang tadi.

Masing-masing turun untuk aksi kedua dalam saingan ini, Melaka bagaimanapun terlebih dahulu berada di depan setelah pemainnya, Nur Aisyah Yaacob berjaya menolak masuk penalti stroke pada minit ke-7 perlawanan.

Tidak mudah berputus asa, Johor kembali memperkemaskan rentak mencari gol penyamaan. Usaha mereka berhasil apabila pemain kebangsaan, Hanis Nadiah Onn berjaya mendapatkan jaringan pertama hasil gol padang pada minit ke-29.
Ketika perlawanan menuju penghujung babak pertama, Hanis Nadiah Onn sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan apabila dia menolak masuk gol kedua juga menerusi gol padang hasil kekalutan di hadapan pintu gol Melaka pada minit ke-30.

Keputusan 2-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan pasukan Johor berjaya mengutip tiga mata penuh dan perlawanan terakhir menentang Selangor pada hari Rabu ini menjadi titik penting selepas Johor tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan pertama sebelum ini.

Ketua Jurulatih Johor, Lailin Abu Hassan berkata, “Sebenarnya, saya berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan pemain saya dalam perlawanan tadi. Mereka cepat belajar dan berjaya mengurangkan kesilapan sekaligus dapat bermain mengikut apa yang direncanakan berbanding perlawanan sebelum ini. Jadi, saya dapat lihat rentak permainan mereka dalam perlawanan ini.

“Untuk satu pagi perlawanan, bagi saya Selangor adalah pasukan yang bagus. Saya akan kaji balik video pasukan Selangor dan akan mengkaji kelebihan serta kekurangan mereka nanti. Kita juga akan memperbaiki kelemahan kita terutamanya pukulan sudut penalti,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan selepas itu, juara bertahan Pahang selangkah menghampiri peringkat separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam kumpulan A. Kali ini mereka membenam pasukan Indonesia dengan keputusan 4-0.

Pahang membuka tirai jaringan seawal minit ke-6 menerusi gol padang Wan Nor Faiezah Saiuti. Selepas itu mereka memperoleh gol kedua hasil pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Siti Noor Amarina Ruhani pada minit ke-17 dan keputusan 2-0 itu kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Di suku keempat perlawanan, Pahang menjaringkan dua lagi gol padang masing-masing oleh Siti Zulaika Hussin pada minit ke-48 dan Thiba Tharshini James melengkapkan kemenangan bergaya Pahang menerusi gol keempat pada minit ke-52.

Satu lagi perlawanan pada sebelah malam menyaksikan tuan rumah, Kuala Lumpur dikejutkan dengan kekalahan 1-4 kepada Terengganu dalam kumpulan A. Gol Terengganu dijaringkan oleh Norfatin Nabila Mohamad menerusi gol padang pada minit ke-25, seterusnya jaringan kedua melalui Najihah Tahir juga menerusi gol padang pada minit ke-30. Selepas itu, Nurul Najah Farhani menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-34 untuk gol ketiga dan satu lagi gol padang oleh Siti Azlinda Atan pada minit ke-35. Sementara gol tunggal Kuala Lumpur pula dijaringkan pada suku pertama perlawanan menerusi pukulan sudut penalti Norazlin Sumantri pada minit ke-12 perlawanan.

Keputusan Penuh (20 November 2017):
Melaka 1-2 Johor (Kumpulan B)
Indonesia 0-4 Pahang (Kumpulan A)
Terengganu 4-1 Kuala Lumpur (Kumpulan A)

Jadual Perlawanan Esok (21 November 2017)
3.00PM- ATM Lwn Selangor (Kumpulan B)
5.00PM- Terengganu Lwn Indonesia (Kumpulan A)
7.00PM- Perak Lwn Pahang (Kumpulan A)

*Semua perlawanan adalah berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur, Jalan Pantai