Senarai 24 Pemain Program Podium Diumum

Teka-teki siapakah 24 pemain yang diserap masuk ke Program Podium akhirnya terjawab apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Program Podium hari ini mengumumkan senarai 24 pemain yang akan mengikuti program tersebut bagi membantu skuad hoki lelaki negara yang kini dalam usaha untuk terus mencipta kejayaan pada tahun 2018 apabila bakal berhadapan dengan tiga kejohanan besar (Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Hoki Piala Dunia) tahun hadapan.

Dalam senarai tersebut menyaksikan kesemua pemain yang telah beraksi dengan cemerlang ketika di Liga Hoki Dunia di London, yang membawa Malaysia ke Piala Dunia 2018 serta pemain yang beraksi ketika Piala Asia 2017 yang menobatkan Malaysia selaku naib juara berada di dalam senarai.

Selain itu turut dapat disaksikan ialah penambahan pemain iaitu penjaga gol ketiga negara, Mohamad Hairi Abd Rahman dan pemain muda yang mempunyai potensi untuk mempamerkan corak permainan yang lebih cemerlang selepas membantu Malaysia meraih pingat emas dalam acara Hoki Dalam Dewan, Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 serta beraksi di Piala Sultan Johor 2017, Norsyafiq Sumantri.

Jelas jurulatih kebangsaan, Stephen van Huizen, 24 pemain yang bakal mengikuti Program Podium adalah pemain yang terbaik dan pemilihan mereka berdasarkan aksi yang telah ditampilkan pada tahun 2017 selain Stephen turut mengharapkan mereka akan menggandakan usaha untuk membantu Malaysia mencipta kejayaan pada tahun hadapan.

“Pemain yang dipilih adalah pemain yang terbaik untuk mengikuti Program Podium dan kami hanya boleh menamakan 24 orang pemain sahaja. Saya berharap pemain yang telah tersenarai akan menggalas tugas mereka dengan sebaik mungkin bagi menghadapi kejohanan-kejohanan tahun depan (2018).

“Pemilihan 24 pemain telah dilakukan berdasarkan daripada aksi terbaik yang ditunjukkan oleh pemain ketika di Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua, London, Piala Asia 2017 dan kejohanan yang telah dilalui oleh mereka sepanjang tahun 2017,” jelas Stephen ketika dihubungi.

Dalam pada itu Stephen turut menjelaskan terdapat empat pemain tambahan akan mengikuti program latihan bersama skuad kebangsaan bagi sesi 2018 dan mereka merupakan pemain yang tidak tersenarai dalam skuad Podium.

“Kami telah memohon kepada KHM untuk menyenaraikan empat pemain bagi menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dan mereka ini boleh bersiap sedia seandainya berlaku kecederaan serius pada pemain lain dan mereka boleh mengisi tempat tersebut.

“Dengan membawa masuk empat pemain tambahan tersebut untuk menjalani latihan bersama, ini bermakna kami mempunyai 28 orang pemain yang mengikuti program latihan dalam kem kebangsaan,” jelasnya lagi.

Berikut merupakan senarai 24 pemain yang diserap untuk mengikuti program podium dan empat pemain yang akan menjalani latihan bersama-sama pemain program podium.

Penjaga gol: Kumar A/L Subramiam, Muhammad Hafizuddin Othman dan Mohamad Hairi Abd Rahman

Pertahanan: Muhammad Razie Abd Rahim, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Faiz Helmi Jali dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan

Tengah: Meor Muhamad Azuan Hasan, Mohd Fitri Saari, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Nabil Fiqri Mohd Noor, Joel Samuel Van Huizen, Muhammad Azri Hassan dan Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad.

Penyerang: Muhammad Firhan Ashari, Faizal Saari, Muhammad Haziq Samsul, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Muhammad Shahril Saabah, Muhammad Ramadan Rosli dan Norsyafiq Sumantri.

Empat pemain yang akan mengikuti program latihan bersama skuad negara: Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (pertahanan), Mohd Ashran Hamsani (tengah), Muhammad Sufi Ismat Rohulamin (penyerang) dan Muhammad Najib Abu Hassan (pertahanan).

Recent Posts

Leave a Comment