Setelah dikejutkan dengan kekalahan 2-4 kepada Itali dalam aksi terakhir peringkat kumpulan saingan FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019 semalam, Ketua Jurulatih Hoki Kebangsaan, Roelant Oltmans menggesa anak buahnya bangkit dalam aksi menentang Wales,esok.
Malaysian Tigers akan berdepan Wales dalam aksi “cross-over” dan mereka perlu menang andai mahu meraih tempat di separuh akhir.
Mengulas mengenai kekalahan kepada Itali, Ketua jurulatih, Roelant Oltmans ketika siding media semalam berkata, “Saya terkejut kerana pemain menunjukkan persembahan di bawah tahap sebenar malam ini (semalam), jauh daripada prestasi sebenar mereka.”
“Apapun, kita masih berpeluang untuk menebus kekecewaan dengan bertemu Wales. Tiada siapa sangka, Itali menguasai peringkat kumpulan, inilah kenyataan. Jadi saya harap kita akan berada di sini dengan skrip berbeza bertemu Wales Rabu ini,”kata Roelant.
Roelant berkata dia sedar bahawa penyokong pastinya kecewa dengan kekalahan tersebut dan beliau mahu pemain bangkit menebus semula kesilapan itu semasa menentang Wales.
“Saya boleh rasakan penyokong pastinya tidak gembira dengan keputusan tersebut. Sudah pastilah mereka terkejut sama seperti saya. Satu saja yang boleh saya katakan yang kami akan bekerja keras untuk memberikan persembahan berbeza pada aksi akan datang untuk membanggakan penyokong,”ujar Roelant.
Dalam aksi tersebut, Malaysia bermula garang apabila beberapa percubaan di awal perlawanan nyaris menghasilkan gol. Minit kesembilan, Itali mengejutkan pasukan negara dengan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan kencang oleh Thomas Keenan untuk mendahului 1-0.
Penyerang negara, Faizal Saari berjaya meledak menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-27 untuk menyamakan kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Di separuh masa kedua, Itali sekali lagi di depan apabila Agustin Nunez menolak masuk gol padang setelah menerima hantaran jauh daripada rakan sepasukan untuk keputusan berubah menjadi 2-1 pada minit ke-31.
Empat minit kemudian, pemain negara yang tidak berputus asa untuk bangkit berjaya menyamakan kedudukan menjadi 2-2 menerusi Muhammad Razie Abd Rahim yang berjaya menolak masuk pukulan sudut penalti.
Rentak negara mula goyah apabila Itali kembali mendahului menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-43 hasil jaringan Agustin Nunez dan selang dua minit kemudian, mereka mendapat satu lagi gol melalui gol padang Francois Sior.
Andai menang ke atas Wales, menanti pasukan negara di separuh akhir adalah Austria yang layak secara automatik ke separuh akhir selaku juara kumpulan A.
Cross Over (1 Mei 2019):
Kanada lwn China (5.50pm)
Malaysia lwn Wales (8.05pm)
Separuh Akhir (3 Mei 2019):
Austria lwn Malaysia/ Wales (5.50pm)
Itali lwn Kanada/ China (8.05pm)









