Skuad hoki negara berdepan cabaran paling getir selepas dikecewakan Great Britain dengan kekalahan 1-4 pada perlawanan pertama Kelayakan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Lee Valley Tennis & Hockey Centre.
Dengan satu tiket ke Olimpik menjadi rebutan, the Malaysian Tigers bermula baik dan berada di depan menerusi pukulan sudut penalti Nabil Fiqri Mohd Noor pada minit ke-6.
Perlawanan terus rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling mempunyai peluang namun skuad negara lebih diasak hebat tuan rumah sambil dibantu ketangkasan penjaga gol berpengalaman, S. Kumar.
Benteng skuad negara bolos pada minit ke-33 apabila Sam Ward menjadikan kedudukan 1-1 hasil jaringan padang.
Jaringan itu membangkitkan lagi semangat pemain tuan rumah dengan Phil Roper kemudian meletakkan Great Britain di depan, tiga minit kemudian.
Disusuli oleh gol ketiga tuan rumah, kali ini menerusi Alan Forsyth sebelum James Gall melengkapkan kemenangan selesa Great Britain dengan menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke-47.
Malaysia cuba berikan tentangan lewat sangan namun terpaksa akur dengan kekalahan ini sekaligus berdepan cabaran sukar menjelang aksi kedua yang dijadualkan berlangsung pada Ahad, jam 3.00 petang waktu tempatan (11.00 malam waktu Malaysia).
“Kami bermain dengan baik terutamanya dalam dua suku pertama perlawanan, punyai beberapa peluang jaringan tetapi kemudian Great Britain mula mendapat rentak.
“Kami memberikan dua gol mudah kepada lawan di samping tidak manfaat peluang yang dimiliki. Kami kurang konsisten khususnya dalam suku ketiga dan ini perlu diatasi dalam perlawanan kedua,” jelas jurulatih, Roelant Oltmans kepada wakil media FIH selepas perlawanan.









