Great Britain Nafikan Impian Malaysia Ke Olimpik

Impian skuad hoki negara untuk menjejakkan kaki ke pentas Sukan Olimpik selepas tempoh 20 tahun tidak menjadi kenyataan selepas kecundang 2-5 kepada Great Britain dalam aksi kedua Kelayakan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London untuk keputusan agregat 3-9.

Tewas 1-4 pada aksi pertama yang berlangsung pada Sabtu, tiada pilihan buat skuad bimbingan Roelant Oltmans selain elak daripada melakukan kesilapan yang sama di samping memburu jaringan yang mampu menyaingi lawan.

Begitupun tuan rumah yang punyai permulaan baik apabila memperoleh penalty stroke yang disempurnakan Alan Forsyth untuk menewaskan S. Kumar pada minit ke-9.

Disusuli dengan jaringan kedua Great Britain yang disempurnakan menerusi gol padang Sam Ward, dua minit kemudian.

Malaysian Tigers kemudian membalas apabila Fitri Saari memanfaatkan peluang hasil daripada pukulan sudut penalti bagi merapatkan jurang menerusi agregat.

Kebangkitan skuad negara bagaimanapun dihalang Great Britain yang menambah satu lagi jaringan menerusi Ward hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-31 sebelum Razie Rahim menjadikan kedudukan 3-2.

Forsyth kemudian melengkapkan hatrik dengan dua jaringan dalam tempoh dua minit, masing-masing menerusi gol padang serta penalty stroke bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Great Britain.

Manakala buat Malaysia, penantian untuk layak ke Sukan Olimpik berterusan selepas kali terakhir membuat penampilan di pentas berkenaan ialah pada edisi 2000 di Sydney.

“Great Britain merupakan satu pasukan yang cukup baik, pada aksi pertama kami dibolosi dengan tiga jaringan dan ia memberikan lebih tugasan buat kami untuk menyerang pada aksi kedua ini. Walaupun ia tidak menjadi seperti yang diharapkan tetap saya tetap berbangga dengan usaha keras seluruh pasukan,” jelas ketua pasukan negara, Sukri Mutalib.