Sukan SEA 2019: Skuad Lelaki Sedia Hadapi Myanmar

Menjelang aksi sulung skuad lelaki negara bagi acara Hoki Dalam Dewan pusingan round robin yang akan berlangsung esok di LB Centtro Mall & Convention Center, Filipina, skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim telah bersedia untuk menghadapi Myanmar pada aksi pembukaan mereka.

Skuad negara yang tidak pernah bertemu Myanmar sebelum ini akan memberikan tumpuan sepenuhnya pada setiap perlawanan yang akan dilalui demi memastikan misi untuk mempertahankan pingat emas seperti yang telah ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berjaya untuk dilunaskan.

“Sejak tiba pasukan telah menjalankan dua sesi latihan dan saya melihat pemain kesemuanya berada pada tahap terbaik dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan pertama.

“Dari segi gelanggang yang digunakan oleh penganjur, kami tidak melihat sebarang masalah kerana gelanggang di sini sama seperti gelanggang yang kami gunakan untuk sesi latihan di Kuala Lumpur.

“Jadi apa yang saya mahukan daripada pemain adalah mereka kekal berikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas masing-masing dan bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana kami tidak pernah bertemu pasukan Myanmar sebelum ini dan kami juga tidak memiliki sebarang maklumat mengenai pasukan lawan,” jelas Amin Rahim ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Kapten pasukan, Mohd Hanip Che Halim turut menuntut rakan sepasukan untuk memberikan 100 peratus komitmen kerana ia akan membantu menaikkan lagi keyakinan mereka untuk menghadapi perlawanan seterusnya selain berharap tiada insiden yang tidak diingini seperti layangan kad yang tidak perlu berlaku.

“Setiap pemain perlu memberikan tumpuan dan komitmen 100 peratus untuk aksi pertama kerana kejayaan pada perlawanan itu nanti akan memberikan keyakinan yang tinggi untuk kami sepasukan menghadapi perlawanan seterusnya.

“Saya berharap rakan sepasukan bijak untuk mengawal keadaan selain tidak terlalu mengikut emosi ketika dalam perlawanan atau melakukan protes yang tidak perlu.

“Ini kerana perkara-perkara tersebut hanya akan mendatangkan masalah kepada pasukan jika ada di antara kami menerima layangan kad,” jelas Hanip.

Edisi ke-30 Sukan SEA Filipina menyaksikan Thailand, Singapura, tuan rumah, Filipina dan Myanmar akan menjadi penghalang untuk skuad negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi lalu (2017) di Kuala Lumpur.

Recent Posts

Leave a Comment