Sukan SEA 2019: Malaysian Tigress Tewaskan Kemboja

Skuad hoki dalam dewan wanita negara mengakhiri saingan liga sepusingan di Sukan SEA 2019 Filipina di kedudukan teratas selepas mencatat kemenangan 10-0 ke atas Kemboja dalam aksi yang berlangsung di LB Centtro Mall & Convention Centre pada Ahad.

Dengan Thailand terlebih dahulu lakar kemenangan 10-0 ke atas Singapura sebelum itu, skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah perlukan kemenangan dengan jumlah jaringan yang besar andai ingin memintas seteru mereka itu.

Meskipun bermula dengan sedikit berhati-hati, Malaysian Tigress akhirnya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-9 menerusi pukulan sudut penalti Nur Aisyah Yaacob.

Seminit berselang, Iren Hussin menggandakan pendahuluan skuad negara apabila menyempurnakan pergerakan untuk jaringan padang.

Dia kemudian menambah satu lagi jaringan peribadi, kali ini menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Tidak lama selepas itu, giliran Qasidah Najwa Muhamad Halimi cipta jaringan berganda dalam tempoh satu minit bagi meletakkan Malaysia selesa mendahului 5-0 menuju tamat separuh masa pertama.

Rentak itu diteruskan skuad negara pada babak berikutnya apabila memperoleh jaringan ke-6 apabila Nuraini Abdul Rashid menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Qasidah Najwa kemudian melengkapkan hatrik dengan satu lagi jaringan padang pada minit ke-33 disusuli dua jaringan berganda Nuraini menerusi pukulan sudut penalti untuk berikan pendahuluan 9-0 kepada Malaysia.

Iren melengkapkan kemenangan besar skuad negara apabila peroleh jaringan pada minit ke-37 untuk keputusan akhir 10-0 memihak Malaysian Tigress.

“Apa yang lebih penting adalah kemenangan berbanding jumlah jaringan, bagi saya ia merupakan bonus malah kami lebih memberikan ruang kepada pemain-pemain yang kurang beraksi sebelum ini,” jelas Dharma Raj ketika dihubungi.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia tamatkan saingan liga sepusingan dengan 10 mata daripada 4 perlawanan untuk duduki tempat pertama.

Meskipun punyai jumlah mata yang sama dengan Thailand, kedua-dua pasukan ini dibezakan dengan perbezaan jaringan dan skuad negara kini akan berdepan tuan rumah, Filipina dalam aksi separuh akhir yang dijadualkan pada  9 Disember, jam 7.30 petang.

Ia menyaksikan perubahan kepada jadual sebelum ini iaitu 3.30 petang dan Dharma Raj percaya pemain-pemainnya sudah bersedia menghadapi apa jua tekanan yang bakal diberikan Filipina.

“Filipina buat kejutan dengan menewaskan Kemboja 4-3 dalam aksi sebelum ini, malah mereka juga menukar jadual perlawanan separuh akhir untuk beri kelebihan selaku tuan rumah tetapi kami turut hormati semangat serta kesungguhan mereka.”