Sukan SEA 2019: Malaysia Pertahankan Pingat Emas

Sasaran yang diletakkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terhadap skuad hoki dalam dewan lelaki negara iaitu untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi lalu berjaya dilunaskan dengan cemerlangnya oleh mereka.

Malaysia muncul pemenang pingat emas Sukan SEA ke-30 Filipina 2019 selepas menundukkan lawan mereka, Thailand 3-1 hasil dua gol padang dan satu jaringan berpunca daripada pukulan sudut penalti pada aksi yang berlangsung di LB Centtro Mall & Convention Center.

Shello Silverius mencatat nama selaku penjaring pada aksi final menerusi jaringan padang pada minit kelapan dan ke-11 sebelum lawan cuba untuk bangkit mengejar menerusi Thanop Kampanthong namun usaha mereka tidak kesampaian apabila Malaysia menambah satu lagi gol kali ini menerusi penyudahan pukulan sudut penalti yang sempurna daripada Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada mint ke-36 sekaligus memuktamatkan pingat emas menjadi milik Malaysia.

Pengendali negara, Muhammad Amin Rahim memanjatkan rasa syukur apabila barisan pemainnya berjaya mengekalkan pingat emas selain memuji tahap disiplin yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya dan berharap akan ada program yang diatur buat skuad dalam dewan selepas ini kerana dia melihat skuad ini mampu untuk melangkah lebih jauh lagi.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana kami berjaya mengekalkan pingat emas untuk kontinjen Malaysia dan terima kasih saya ucapkan kepada setiap pemain yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang persiapan untuk ke Sukan SEA.

“Untuk perlawanan hari ini pemain telah berikan yang terbaik dari segi disiplin dengan mengikut taktikal yang saya terapkan dan bermain dengan penuh bermaruah untuk memastikan Malaysia kekal sebagai kuasa besar hoki di Asia Tenggara.

“Apa yang saya harapkan selepas ini akan ada program yang disediakan untuk skuad dalam dewan kerana selain acara hoki dalam dewan akan terus dipertandingkan pada Sukan SEA yang akan datang di Vietnam, saya melihat hoki dalam dewan mempunyai potensi yang cukup besar untuk melangkah lebih jauh terutamanya melayakkan diri ke Piala Dunia.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembantu saya (Megat Azrafiq Termizi) yang telah banyak membantu untuk mempersiapkan pasukan ini semasa saya bersama skuad senior kebangsaan.

“Selain itu ucapan terima kasih juga buat semua tenaga sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN) yang banyak membantu dalam kejayaan skuad dalam dewan. Tanpa semua ini tidak mungkin kami akan mampu untuk mencapai apa yang kami miliki sekarang,” jelas Amin Rahim.

Dalam pada itu Shello turut melahirkan rasa gembira serta bangga apabila penampilan pertama di temasya Sukan SEA dilengkapkan dengan sempurna selepas menyumbang gol yang membantu Malaysia untuk pulang ke tanah air bersama pingat emas.

“Ini penampilan pertama saya di Sukan SEA dan saya cukup gembira kerana bersama rakan sepasukan yang lain kami menghadiahkan pingat emas kepada negara dan tentunya saya bangga dengan apa yang telah kami sepasukan capai.

“Masih banyak lagi yang perlu saya perbaiki untuk menjadi pemain yang lebih baik namun saya tetap berpuas hati dengan penampilan di Filipina ini.

“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan juga rakan-rakan sepasukan atas kepercayaan yang diberikan kepada saya serta keluarga yang banyak memberikan sokongan semangat. Tidak lupa buat seluruh peminat serta penyokong yang sentiasa mempercayai kami dan memberikan sokongan penuh kepada kami,” jelas Shello.

Malaysia melengkapkan Sukan SEA edisi kali ini dengan rekod cemerlang tanpa kalah dalam kesemua perlawanan dan akan pulang ke tanah air esok.

Recent Posts

Leave a Comment