Hoki 5s Piala Asia Lelaki: Malaysia Akhiri Pusingan Kumpulan Di Kedudukan Ketiga

Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan menutup pusingan Pool Elite, Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 (Lelaki) di Salalah Oman, di kedudukan ketiga selepas terikat seri 5-5 dengan Pakistan yang muncul selaku pasukan teratas Pool Elite.

Selaku pasukan di tempat ketiga dalam Pool Elite, Malaysia bakal melalui perlawanan “crossover 2.2” yang akan berlangsung pada awal pagi 2 September (Sabtu – 12:00 tengah malam, waktu Malaysia) bagi merebut slot ke separuh akhir dan perlu menanti siapakah lawan yang akan ditemui iaitu pemenang perlawanan “crossover 1.1” antara Iran dan Jepun.

Perlawanan terakhir di pusingan kumpulan bertemu Pakistan hari ini telah menobatkan Muhamad Nazrey Din sebagai Pemain Terbaik Perlawanan dan selepas tamat semua lima perlawanan, Malaysia mengumpul keseluruhan sepuluh mata dengan jaringan 48 gol sementara bolos 23 diikuti rekod tiga kemenangan, satu seri dan satu tewas.

Aksi terakhir pusingan kumpulan hari ini menyaksikan pintu gol Malaysia terlebih dahulu dibolosi pada minit keempat hasil gol padang Muhammad Murtaza namun Syarman Mat Tee segera memadam gol tersebut juga menerusi gol gerakan padang.

Seminit sebelum aksi separuh masa pertama tamat, Pakistan dihadiahkan dengan kelebihan “challenge” dan Abdul Rana meletakkan Pakistan dihadapan 2-1  yang sekaligus menutup babak separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Abdul Rana sekali lagi meledak gol untuk melebarkan kedudukan dengan Malaysia pada minit ke-16 namun berselang dua minit kemudian, Malaysia kembali mengejar untuk merapatkan kedudukan menerusi gol Muhamad Nazrey Din.

Jaringan penyamaan 3-3 Malaysia hadir pada minit ke-24, selepas Mohamad Akhimullah Anuar Esok, cemerlang menewaskan penjaga gol Pakistan namun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila beberapa saat kemudian Abdul Rehman kembali meletakkan Pakistan di depan 4-3.

Skuad bimbingan Ketua Jurulatih, Wallace Tan menggandakan asakan dan hasilnya dua gol berjaya dicetak oleh pasukan negara bermula gol Muhamad Nazrey Din pada minit ke-25, Muhammad Arif Syafie Ishak meletakkan Malaysia dihadapan 5-4 pada minit ke-26.

Bagaimanapun Pakistan berjaya untuk mengejar kembali  kedudukan selepas Abdul Rana menjaringkan hatrik buat Pakistan dan sekaligus mengikat kedudukan 5-5 dengan Malaysia pada minit ke-28. Jaringan tersebut terus kekal dan menutup pusingan Pool Elite dengan Malaysia terikat 5-5 bersama Pakistan.