Keputusan diikat Terengganu 1-1, telah menimbulkan rasa kurang senang buat Pengurus Pasukan Young Tigress, Dato’ Haji Mohd Saiyuti Abd Samat ekoran prestasi yang kurang memberangsangkan dipamerkan barisan pemain muda kebangsaan dalam aksi Kumpulan B Piala Tun Abdul Razak TNB 2024 di Johor Bahru, hari ini.

“Mereka telah bermain di bawah par, ini bukan persembahan yang kami inginkan.

“Banyak sangat kesilapan yang dilakukan para pemain, saya lihat tiada kesungguhan yang diberikan dan kami telah banyak membuang pukulan sudut penalti,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan.

Berikutan keputusan seri yang dicatat skuad bimbingan Lailin Abu Hassan itu, Young Tigress terpaksa menanti aksi terakhir Kumpulan A bagi memastikan tempat ke separuh akhir menjadi milik mereka.

Young Tigress yang mengungguli Kumpulan A kini mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan dengan tiga kemenangan serta sekali seri dan esok, barisan pemain muda Malaysia perlu memburu kemenangan ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Menurut Mohd Saiyuti, untuk perlawanan menentang ATM, para pemain perlu menunjukkan tahap permainan yang berbeza bersesuaian dengan status mereka sebagai pasukan muda kebangsaan.

“Saya mahu mereka persembahkan aksi yang berlainan, sesuai sebagai pasukan kebangsaan, permainan, hari ini, sangat menghampakan,” ujarnya.

Pada pertemuan yang berlangsung di Stadium Hoki Johor, Taman Daya itu, Young Tigress terlebih dahulu membuka jaringan menerusi gol padang yang diledakkan oleh Thibatharshini James seawal minit ke-3.

Namun, Terengganu yang tidak mengenal erti putus asa akhirnya menyumbat gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Nurul Najah Farhani Abd. Rashid pada minit ke-38.

Keputusan seri 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil dan Terengganu yang dibimbing Mohd Shahrun Nabil itu berada di tangga kedua setelah mengumpul tujuh mata daripada empat perlawanan.

Mohd Shahrun Nabil Abdullah melahirkan rasa gembira dengan keputusan yang dicatat anak-anak buahnya yang sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk menempah tiket ke separuh akhir.

“Kami merupakan ‘underdog’, hari ini, kami memang mengharapkan keputusan seri jika tidak boleh menang.

“Satu mata yang dikutip memberikan kami harapan, Melaka menanti kami dalam perlawanan terakhir, Rabu ini. Kemenangan akan meletakkan kami ke separuh akhir,” kata Shahrun Nabil.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan A, Pulau Pinang terikat dengan keputusan seri 2-2 menentang Pahang, manakala, Perak menundukkan Selangor 2-1.

Pulau Pinang mengetuai kumpulan itu dengan tujuh mata diikuti Selangor yang mengumpul enam mata, manakala, Perak ditangga ketiga juga dengan enam mata.

Tags: