Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menamatkan saingan pada Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2024 ditangga keenam selepas mengetepikan Kuala Lumpur dalam perlawanan perebutan tempat ke-5/6 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
Skuad bimbingan Mohd Yazid Yahya itu membenam Kuala Lumpur 4-0 yang memegang rekod kejuaraan terbanyak iaitu 21 kali.
Empat gol ATM diledakkan oleh Mohamad Sufian Marsom (minit ke-28), Muhamad Faisol Rohizan (minit ke-37), Azrin Azman (minit ke-57) dan Muhamad Nazrey Din (minit ke-59).
Sementara itu, Negeri Sembilan melengkapkan aksi mereka di kedudukan ke-8, selepas tewas 3-5 ditangan Pulau Pinang yang secara automatik menamatkan saingan di tempat ketujuh.
Negeri Sabah di Bawah Bayu pula dipaksa berhempas pulas sebelum meraih kemenangan ke atas Perlis 5-4 bagi perlawanan penentuan tempat ke-9/10.
Jurulatih Sabah, Eugene Lee berkata, anak-anak buahnya masih memerlukan lebih banyak pendedahan untuk meningkatkan kemahiran mereka di dalam padang.
“Mereka masih muda, perlu banyak pendedahan untuk mempertajamkan skil mereka.
“Pemain-pemain ini berpotensi untuk menjadi pemain yang bagus. Saya rasa lebih elok jika mereka dapat bermain terlebih dahulu dalam liga remaja kebangsaan, sebelum kembali semula ke Piala Tun Abdul Razak, tahun depan,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir
Menurut Eugene, penyertaan anak-anak buahnya pada Piala Tun Abdul Razak mampu menjadi platform terbaik buat mereka menimba pengalaman.
“Kejohanan ini adalah platform terbaik, mereka bermain dengan pemain senior kebangsaan. Pengalaman ini akan mentransformasikan mereka ke tahap seterusnya,” ujar beliau.
Untuk aksi penentuan tempat ke-11/12 pula, Melaka menewaskan Selangor 4-3 dengan bekas pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menjaringkan dua gol, manakala, Mughni Mohamad Kamal dan Shafiq Ammar Fahmi masing-masing menyumbang satu gol.
Dua pasukan tercorot dalam Kumpulan A dan B iaitu Singapura serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertembung bagi penentuan tempat ke-13/14.
Pasukan Sang Saka Biru meraih kemenangan sulung pada kejohanan itu setelah merekod kemenangan 3-2 ke atas negara Temasek tersebut.