Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh berkata, sesebuah kejayaan tidak boleh diukir dalam tempoh semalaman dan beliau memerlukan masa untuk mengembalikan kegemilangan Speedy Tigers.

“Bila tiba masanya kita akan dapat lihat, tunggu dulu selepas 13 hingga 14 minggu di mana program latihan kecergasan fizikal yang saya sedang usahakan selesai dilakanakan, kita akan saksikan perubahan yang diharapkan nanti.

“Buat masa ini, selepas enam bulan teraju skuad kebangsaan, tidak banyak perubahan yang dapat saya lakukan kerana pasukan perlu mengharungi jadual yang cukup padat bermula Piala Sultan Shah.

“Kemudian mereka menyertai Piala Negara-Negara di Eropah, selepas itu Jelajah Eropah dan Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia, saya tidak mempunyai masa mencukupi mengadakan latihan fizikal bersama para pemain,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai prestasi hambar Malaysia sewaktu menyertai Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia Trofi Moqi 2024 di Hulunbair, Inner Mongolia, China yang berakhir, minggu lalu.

Speedy Tigers menamatkan aksi mereka pada kejohanan itu di kedudukan keenam setelah tewas 2-4 kepada Jepun menerusi penentuan shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 dalam 60 minit perlawanan sebenar.

Menurutnya, sebaik skuad negara pulang dari Hulubair sehingga hujung tahun ini, Speedy Tigers hanya akan memberi fokus kepada latihan kecergasan fizikal yang perlu ditingkatkan segera.

Jelas Sarjit, para pemainnya tidak 100 peratus memiliki fizikal yang bagus apabila menyaksikan segelintir pemain begitu mudah tercedera berbanding pemain Korea Selatan, China mahupun Jepun.

“Saya melihat kita ada banyak kekurangan di bahagian ini, jadi, saya tidak berasakan saya perlu panik walaupun ada yang berkata tempoh 18 bulan yang saya sasarkan itu terlalu singkat.

“Kita ada dua, tiga pemain yang bagus seperti Marhan Jalil, Fitri dan Faizal Saari, semasa kejohanan pula saya perhatikan Nik Aiman Nik Rozemi bermain dengan sangat bagus, begitu juga, Shello Silverius, Amirul Hamizan Azahar, Norsyafiq Sumantri dan juga Faris Harizan tetapi dia mengalami kecederaan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, menilai kepada persembahan pemain-pemain yang disebutnya itu, Speedy Tigers kini semakin memiliki pasukan yang sempurna hasil gabungan pemain senior dan junior.

“Pasukan sebenarnya bermain baik walaupun kita masih belum berjaya mendapatkan keputusan yang bagus, saya ada 12 bulan lagi dan saya tak rasa masa semakin mencemburui saya, cuma kita perlu masa untuk pemain-pemain muda ini,” tegasnya.

Sarjit turut mengakui, anak-anak buahnya memerlukan sekurang-kurangnya 40 perlawanan setahun untuk mereka kekal konsisten dan kompetitif.

Beliau amat berharap Speedy Tigers mampu merapatkan jurang prestasi dengan pasukan India dalam tempoh dua tahun akan datang dengan Sukan Asia sebagai sasaran utama skuad kebangsaan.

Tags: