Fatin Shafika Mahd Sukri bukan nama asing dalam pasukan hoki wanita kebangsaan dan kini dia kembali dipanggil menyarung jersi Malaysian Tigress dibawah kendalian Nasihin Nubli Ibrahim.
Bakal dipersiapkan untuk mengharungi beberapa kejohanan tahun ini antaranya Piala Negara-Negara 2 Wanita pada Jun dan Sukan SEA Thailand hujung tahun ini, apa yang berbeza buat Fatin Shafika pada penampilan kali ini adalah, dirinya kini bergelar pegawai polis sekali gus perlu bijak membahagikan tugas dan tugasan bersama skuad negara.
Cita-cita Fatin Shafika untuk menjadi polis sudah ditanam sejak kecil dan akhirnya selepas beberapa kali permohonannya ditolak, kini beliau bergelar Inspektor.
Dia yang juga pernah berkhidmat sebagai staf di Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah memulakan tugas pada Januari lalu dan ditempatkan di Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Tanah Merah.
"Memang saya minat nak jadi polis, lebih kurang empat kali saya buat permohonan untuk masuk semuanya ditolak. Tetapi saya tidak putus asa dan terus memohon. Alhamdulillah akhirnya permohonan saya diterima dan kini bergelar sebagai pegawai polis.
"Pada awalnya sukar juga untuk saya membuat keputusan untuk memilih menjadi pegawai polis tapi dengan sokongan keluarga dan kawan-kawan, ia membuat saya lebih yakin untuk teruskan dengan pilihan tersebut.
"Paling penting adalah saya boleh buat ibu bapa dan keluarga saya tersenyum dengan kejayaan saya ini," katanya.
Menyingkap perjalanan karier Fatin Shafika dalam sukan hoki, dia mula bermain bersama skuad negara sejak tahun 2013 hingga kini.
"Kalau nak ikutkan perjalanan karier saya dalam sukan hoki, boleh dikatakan sebagai kehidupan seharian saya. Masa remaja mahu pun sekarang dihabiskan dengan hoki. Saya bermula seawal 2013 hingga 2024 di dalam skuad negara," jelasnya.
Fatin Shafika merupakan sebahagian daripada skuad Blue Warriors yang melakar sejarah tahun ini apabila meraih kejuaraan treble pertama di pentas Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.
Ketika ditanya mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, dia mengakui telah membuat persiapan awal dan turut membeli dua pasang baju raya.
Katanya, kemungkinan besar dia akan bertugas pada hari raya dan telah bersedia untuk perkara itu sebaik sahaja mengambil keputusan bergelar pegawai polis.
"Saya yang pilih kerjaya polis, maksudnya saya bersedia apa sahaja arahan yang diberikan.
"Ini seperti kehidupan baru saya, dengan keadaan sekeliling dan pemakanan pada saya tiada masalah cuma untuk berkomunikasi itu agak mencabar bagi saya untuk memahami loghat penduduk di sini (Tanah Merah, Kelantan).
"Untuk saya semua (persiapan raya) sudah selesai. Raya ke tak raya jatuh nombor dua janji persiapan itu kena buat. Tahun ini baju raya dua pasang, warna 'rich brown' dan 'soft yellow'," jelasnya.
