Selepas berakhirnya sesi pemilihan akhir skuad wanita negara pada minggu lalu, hari ini senarai 26 pemain diumumkan bagi menggalas tanggungjawab bersama Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan dan lebih menarik dua pemain senior kembali menyarung jersi Malaysian Tigress.
Dua pemain berkenaan adalah Noor Hasliza Md Ali dan Fatin Shafika Mahd Sukri yang berjaya memikat Ketua Jurulatih Pasukan Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim selepas mempamerkan prestasi cemerlang ketika membantu Blue Warriors meraih gelaran treble buat kali pertama pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025.
Senarai berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Najmi Razak yang berharap semua pemain dapat memberi aksi terbaik bagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Beliau turut menyeru Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan untuk menumpukan kejohanan terdekat terlebih dahulu sebelum memikirkan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2025 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Disember.
“Tahniah kepada pemain-pemain yang terpilih dan apa yang penting sekarang adalah mereka perlu terus memperbaiki prestasi serta kekuatan mental untuk lebih berjaya diperingkat antarabangsa.
“Pasukan Wanita Kebangsaan diingatkan untuk berikan tumpuan kepada satu demi satu Kejohanan dahulu sebelum fokus untuk mengekalkan pingat Emas Sukan SEA 2025. Kejohanan yang terdekat adalah Kejohanan Piala Negara-Negara 2 (Wanita) di Walc, Poland pada pertengahan bulan Jun tahun ini.
“Saya juga percaya keharmonian dalam pasukan adalah antara aset penting yang akan membawa kejayaan. Barisan Kejurulatihan pasukan Hoki Wanita Kebangsaan perlu lebih banyak meluangkan masa untuk membangunkan pasukan ini dan saya percaya bahawa usaha mereka akan mendatangkan hasil positif,” kata Dato’ Najmi.
Tahun 2025 menyaksikan, Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan akan mengharungi beberapa kejohanan penting iaitu Piala Dunia Remaja Wanita, Piala Negara-Negara, Piala Asia Wanita dan Sukan SEA 2025.
Ketua Jurulatih Pasukan Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim memaklumkan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan iaitu Nuramirah Shakirah Zulkifli, Siti Nur Arfah Mohd Nor dan Siti Zulaikha Hussin telah kembali berlatih bersama pasukan.
Beliau juga menjelaskan mengenai keputusan menyenaraikan Noor Hasliza dan Fatin Shafika selepas melihat kedua-dua pemain itu memperagakan aksi cemerlang bersama Blue Warriors dalam saingan TNB MHL 2025.
Katanya, gabungan pemain senior, pemain remaja serta beberapa bekas pemain senior sebelum ini mampu membentuk kombinasi terbaik buat Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan.
“Beberapa pemain utama telah kembali berlatih bersama pasukan daripada kecederaan yang dialami sebelum ini iaitu Nuramirah Shakirah, Siti Nur Arfah dan Siti Zulaikha.
“Ia tentunya memberikan impak positif dalam persediaan pasukan tahun ini dan juga untuk kejohanan Piala Negara-Negara 2 (Wanita) pada bulan Jun nanti.
“Bekas pemain Kebangsaan seperti Noor Hasliza dan Fatin Shafika dari Pasukan PDRM Blue Warriors yang telah menunjukkan persembahan baik semasa Liga TNB MHL juga telah dipilih untuk memperkuatkan pasukan Kebangsaan sementara seorang pemain dari pasukan remaja kebangsaan, Zawaitul Akma yang belum mempunyai sebarang Caps Antarabangsa juga telah terpilih dan akan menyertai 6 lagi pemain Remaja di dalam skuad senior,” katanya.
Nasihin turut berharap semua pemain dapat menanamkan mentaliti menang dalam diri mereka dan meletakkan sasaran untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2025.
Impian besar turut dikongsi Nasihin yang mahu mengembalikan semula zaman kegemilangan Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan ketika era 80-an yang menjadi antara pasukan terbaik Asia.
“Secara peribadi, saya mahu pasukan ini menggunakan semua perlawanan persahabatan dan Kejohanan yang disertai dengan memupuk mentaliti untuk ‘menang’. Sebagai pemain, mereka perlu meletakkan sasaran yang tinggi, sejauh mana yang mereka mahu capai.
“Sudah pastinya sasaran utama pasukan tahun ini adalah mengekalkan pingat emas Sukan SEA selain memberikan saingan terbaik bagi mencabar kedudukan tertinggi dalam semua perlawanan yang disertai.
“Berdasarkan daripada aksi persahabatan dengan Afrika Selatan yang lepas, saya yakin pemain-pemain ini mampu untuk mencipta keputusan positif dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang.
“Saya juga akan memastikan bahawa kami barisan kejurulatihan akan sentiasa menekan pemain untuk memberikan komitmen dan usaha serta disiplin yang tinggi untuk mewujudkan persaingan sihat antara mereka.
“Ia sekaligus akan menaikkan kekuatan pasukan dalam penyediaan menjadikan pasukan ini antara pasukan wanita yang terbaik di benua Asia seperti yang pernah dilakukan pada era 80an,” jelasnya.
Berikut merupakan senarai 26 pemain yang akan menggalas tanggungjawab membawa cabaran Malaysia pada kejohanan-kejohanan tahun 2025.
BIL. | NAMA | POSISI |
1. | SITI ZALIA BINTI NASIR | PENJAGA GOL |
2. | NUR HAZLINDA BINTI ZAINAL ABIDIN | PENJAGA GOL |
3. | FITRINUR AMIERA BINTI RAMLEE | PENJAGA GOL |
4. | JULIANI BINTI MOHAMAD DIN (KAPTEN) | PERTAHANAN |
5. | NURUL FATIN FATIAH BINTI AZMAN | PERTAHANAN |
6. | KHAIRUNNISA AYUNI BITNI MOHD SHARUDDIN | PERTAHANAN |
7. | DAYANG NURAMIRAH BINTI ABANG MAHADINI | PERTAHANAN |
8. | ANITH HUMAIRA BINTI BAHARUDIN | PERTAHANAN |
9. | NUR AISYAH BINTI CHE MUSA | PERTAHANAN |
10. | ZAWIATUL AKMA BINTI HARTOMO | PERTAHANAN |
11. | NURMAIZATUL HANIM SYAFI BINTI SHIEK FUAD | TENGAH |
12. | SITI NUR ARFAH BINTI MOHD NOR | TENGAH |
13. | NUR INSYIRAH BINTI EFFARIZAL | TENGAH |
14. | NUR NABILA ALIA BINTI YUSSAINI | TENGAH |
15. | SITI NUR ATIKA BINTI SHAIKH MAZNAN | TENGAH |
16. | NOOR HASLIZA BINTI MD ALI | TENGAH |
17. | SITI NUR IRDINA BINTI MOHD NOR | TENGAH |
18. | NUR SHAMINE AZUREEN BINTI MOHAMMAD BADUSHA | TENGAH |
19. | HANIS NADIAH BINTI ONN | PENYERANG |
20. | NUR AFIQAH SYAHZANI BINTI AZHAR | PENYERANG |
21. | AZMYRA MIA SOFEA BINTI AZHARI | PENYERANG |
22. | SITI ZULAIKHA BINTI HUSAIN | PENYERANG |
23. | FATIN SHAFIKA BINTI MAHD SUKRI | PENYERANG |
24. | NURAMIRAH SHAKIRAH BINTI ZULKIFLI | PENYERANG |
25. | ZATI ALYANI BINTI MUHAMMAD ZUBIR | PENYERANG |
26. | NUR IMAN ADAWIYAH BINTI MOHD SUHAIMI | PENYERANG |