Tentangan hebat berjaya dihadirkan oleh Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan pada perlawanan akhir menentang Belanda, di edisi pertama Kejohanan FIH Hoki 5s Piala Dunia (Lelaki) 2024, Muscat, Oman, sebelum akur tewas 2-5 kepada lawannya itu dan muncul selaku naib juara.
Skuad negara juga boleh berasa bangga dengan pencapaian yang diraih apabila Kapten Pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang telah menjaringkan 10 gol sepanjang kejohanan dinobatkan selaku Pemain Terbaik.
Pada aksi final yang berlangsung, Belanda terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minti pertama selepas Van Der Drift Yannick menyempurnakan kelebihan challenge sebelum Malaysia bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol pandang Akhimullah Anuar Esook, seminit kemudian.
Bagaimanapun Belanda kembali menjarakkan kedudukan dengan dua gol pada minti keenam menerusi Reyenga Pepijn sebelum jaringan kedua peribadi Van Der Drift Yannick pada minit ke-13 menutup aksi separuh masa pertama dengan Belanda di hadapan 3-1.
Bersambung separuh masa kedua, kebangkitan ditunjukkan Malaysia menerusi jaringan Muhammad Firdaus Omar pada minit ke-16 dan skuad negara hampir menyamakan kedudukan pada minti ke-26 apabila Akhimullah Anuar Esook dan Syarman Mat Tee memiliki peluang terbaik di hadapan gol lawan untuk meledak jaringan penyamaan namun berjaya dinafikan penjaga gol Belanda.
Dalam minit ke-26 juga, Belanda sebaliknya mencetak gol keempat selepas Sander de Wijn menyempurnakan kelebihan chellenge kedua mereka dan berselang dua minit kemudian, Jamie van Aart memuktamatkan kemenangan Belanda menerusi jaringan kelima, sekaligus menutup aksi dengan Belanda 5-2 Malaysia.
Ketua Jurulatih Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan menyifatkan pemainnya telah memberikan segalanya pada perlawanan akhir namun terpaksa akur untuk muncul selaku naib juara.
“Untuk pentas Piala Dunia, ini merupakan satu pencapaian tertinggi dan terbaik untuk hoki Malaysia.
“Sebelum pasukan ke Piala Dunia, kami telah menjalani sesi latihan dengan sebaiknya bagi membaiki kelemahan pasukan dan tempat kedua merupakan tempat yang saya boleh katakan terbaik.
“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas semua sokongan yang diberikan kepada pasukan kami. Kami telah mencuba sehabis baik dan kami mencapai kedudukan kedua.
“Saya berharap penyokong akan terus memberikan sokongan kepada Pasukan Hoki Malaysia,” jelasnya.










