Hasrat Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan untuk mara ke pusingan lapan terbaik di Piala Dunia Hoki Dalam Dewan di Porec, Croatia tidak kesampaian selepas tewas 5-2 kepada Argentina.
Aksi kedua Kumpulan B di Zatika Sport Centre dimulakan Malaysia dengan persembahan positif apabila Shamie Irfan Suhaimi meletakkan pasukan negara di hadapan pada minitke-12.
Namun gol itu tidak bertahan lama apabila Argentina bangkit dengan dua gol menerusi jaringan Gaston Rodriguez pada minit ke-17, disusuli gol Facundo G Navarro dua minit kemudian.
Rodriguez sekali lagi menemui sentuhan penyudah pada m-26 hasil pukulan sudut penalti namun Muhammad Najmi Farizal Jazlan kembali merapatkan jurang m-39 untuk kedudukan 3-2.
Argentina bagaimanapun bangkit memastikan kemenangan menjadi milik mereka apabila menambah dua gol masing-masing disumbangkan oleh Alfredo Sosa pada minit ke-39 dan Agustin Ceballos (m-40) untuk meraih tiga mata pertama di kejohanan itu.
Meskipun tewas, Ketua jurulatih negara, Mohd RodzhanizamMat Radzi tetap berbangga dengan peningkatan corak permainan anak buahnya dalam perlawanan itu berbanding ketika tewas kepada Jerman, semalam.
Katanya, peluang untuk mara ke suku akhir boleh dikatakan sudah berakhir dan kini tumpuan akan diberikan pusingan seterusnya.
"Kita tahu kita kalah pada perlawanan kedua tetapi kita dapat lihat peningkatan daripada segi permainan teknikal pemain-pemain. Bagi saya pemain-pemain telah beri yang terbaik pada perlawanan hari ini.
"Memang kita dapat lihat peningkatan walaupun kita kalah, kita belajar daripada kekalahan perlawanan pertama dan kedua. Cuma pada hari ini kita tidak bernasib baik untuk menang.
"Kalau kita lihat, kita boleh beri saingan tetapi kesilapan-kesilapan dilakukan sekali lagi telah menyebabkan lawan menjaringkan gol. Untuk pasukan kita, kita bermain dengan baik.
"Untuk pasukan kita tetap akan beri yang terbaik di pusingan seterusnya," katanya Mohd Rodzhanizam selepas perlawanan.
Aksi terakhir skuad negara di Porec bagi saingan peringkat Kumpulan B ialah menentang juara Asia Iran, esok.
