Kejohanan TNB-KHM Bawah-14 Tahun Kebangsaan 2019 semakin rancak dengan saingan kini memasuki peringkat kumpulan kedua iaitu X dan Y untuk kategori Lelaki dan Perempuan.
Juara bertahan kategori Lelaki, Perak diundi dalam Kumpulan X bersama-sama Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.
Skuad kendalian Jegatheesan Selvaratnam menjadi pasukan tunggal dengan rekod seratus peratus kemenangan bagi mengungguli Kumpulan A dengan 12 mata maksimum.
Kumpulan Y pula menyaksikan Pahang, Johor dan Pulau Pinang bakal bersaing untuk memburu kejuaraan kali ini.
Pulau Pinang sahkan kedudukan mereka selepas mencatat kemenangan 4-1 ke atas Kedah dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Selasa.
Undian bagi kategori Perempuan pula menyaksikan Negeri Sembilan, Pahang serta Pulau Pinang ditempatkan dalam Kumpulan X manakala Kumpulan Y dibarisi Perak, Sabah serta Johor.
Bagi jurulatih Negeri Sembilan, Tan Ghee Wah, pasukannya sudah bersedia untuk hadapi dua lawan mereka di sebalik status sebagai bukan pilihan.
Negeri Sembilan tamatkan saingan selaku juara Kumpulan B dengan menewaskan Johor 3-1 dalam aksi terakhir kumpulan.
“Setakat ini kami sudah mencapai sasaran utama iaitu melepasi peringkat kumpulan awal, selepas ini apa yang berlaku adalah bonus kepada pasukan, ia beri semangat yang positif.
“Bagi saya Pahang merupakan pasukan pilihan dalam Kumpulan X tetapi saya harap persembahan kami mampu menyaingi mereka,” jelas Ghee Wah ketika ditemui.
Dalam pada itu, pengendali Johor, Mohd Hilmi Hafidz Mohd Haidir berpandangan Sabah sebagai ancaman utama dalam Kumpulan Y.
“Sabah pasukan yang kuat, malah mereka harungi perlawanan yang cukup sukar dalam Kumpulan A sebelum ini, saya pasti mereka merupakan tentangan utama.
“Saya percaya kemampuan Johor untuk pergi lebih jauh cuma pemain perlu mendengar arahan dan bermain sebagai satu unit andai ingin peroleh kemenangan,” ujar Mohd Hilmi.









