Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita): Malaysia Buka Kempen Dengan Langkah Kanan

Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Negara, membuka kempen Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 (Lelaki dan Wanita) yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok Thailand dengan cemerlang apabila tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan masing-masing.

Skuad Lelaki negara yang turun bagi aksi pertama, liga satu pusingan mencatat kemenangan 6-0 ke atas Singapura sementara Skuad Wanita negara yang turun bagi aksi sulung Kumpulan B menundukkan Kemboja 14-1

Faridzul Afiq Mohd dan Nuraini Abdul Rashid masing-masing dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan hari ini selepas menampilkan aksi cemerlang dalam membantu pasukan masing-masing untuk meraih kemenangan.

Skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi gol padang Faridzul Afiq Mohd dan minit ke-23 Faridzul Afiq terus melebarkan jurang jaringan apabila menyudahkan kelebihan pukulan sudut penalti.

Berselang dua minit kemudian, Malaysia yang sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti memastikan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada gol menerusi Razali Mohd Hazemi sebelum Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah mencatat nama selaku penjaring keempat pada minit ke-29.

Lapan minit sebelum perlawanan berakhir Shello Silverius dan Norsyafiq Sumantri masing-masing turut mencatat nama selaku penjaring perlawanan pertama pada minit ke-32 dan 36.

Jelas Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara, Muhamad Amin Rahim, walaupun kemenangan pertama berjaya diraih, namun beliau percaya pemainnya mampu untuk memberikan aksi yang lebih baik daripada apa yang telah ditampilkan dalam perlawanan pembukaan hari ini.

“Aksi pembukaan kejohanan selalunya merupakan aksi yang sukar, namun pemain berjaya mengatasinya dengan baik. Banyak peluang dicipta dalam perlawanan hari ini tetapi penyudahan kami agak tumpul. Kami akan melihat semula kesilapan dan kelemahan yang dilakukan hari ini dan akan memperbaikinya untuk aksi seterusnya.

“Untuk perlawanan menentang Chinese Taipei, saya akan cuba mengenalpasti kelemahan pasukan lawan dan mengatur permainan mengikut kekuatan pasukan bagi melakar kemenangan seterusnya.

“Apa yang paling penting, pemain harus percaya dengan kekuatan setiap individu serta pasukan dan mengikut perancangan dengan sebaiknya,” jelasnya.

Malaysia akan turun untuk aksi kedua liga satu pusingan esok bertemu Chinese Taipei jam 2:30 petang, waktu Malaysia.

 

 

 

 

 

Dalam perlawanan yang melibatkan aksi Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Negara, Malaysia tidak berdepan masalah untuk menundukkan Kemboja 14-1 sekaligus berada di puncak kedudukan Kumpulan B.

Jelas Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Negara, Mohd, Rodhanizam Mat Radzi, beliau berbangga dengan prestasi yang telah ditampilkan oleh anak-anak buahnya selain menyifatkan mereka telah memberikan aksi yang terbaik.

“Untuk perlawanan hari ini bertemu Kemboja, pemain bermain dengan baik sebagai satu pasukan. Apabila kami menjaringkan gol yang banyak dan berada dalam keadaan selesa, kami melakukan beberapa pertukaran taktikal sebagai persedian untuk perlawanan yang seterusnya.

“Esok adalah hari rehat untuk pasukan, kami akan menggunakan dengan sebaiknya masa yang ada untuk memperbaiki kekurangan dan kesilapan bagi menghadapi perlawanan seterusnya,” jelas beliau.

Pemain berpengalaman negara, Nuraini Abdul Rashid muncul penyumbang gol terbanyak untuk kem negara dengan empat gol pukulan sudut penalti pada minit ke-13, 14, 15, dan 36 sementara tiga gol disumbangkan oleh Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi (m’4, m’15, dan m’39) selain  Fazilla Sylvester Silin turut menjaringkan tiga gol pada minti ke-11, 33 dan 35.

Dalam pada itu, Nur Aisyah Yaacob yang menyumbang gol pertama negara seawal minit pertama perlawanan berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-27 selain Raja Norsharina Raja Shabuddin dan Qasidah Najwa Muhammad Halimi turut mencatat nama selaku penjaring masing-masing pada minit ketiga dan ke-10.

Esok, skuad wanita negara akan berehat sebelum turun bertemu tuan rumah, Thailand pada Rabu jam 8:30 malam waktu Malaysia.