Malaysian Tigress menutup aksi pusingan Pool B, Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, (Wanita) Valencia, Sepanyol, dengan keputusan tewas 1-8 kepada Great Britain.
Selepas menamatkan semua tiga perlawanan pusingan kumpulan, Malaysia yang kini di kedudukan terakhir Pool B masih menanti lawan yang akan ditemui iaitu pasukan di kedudukan ketiga Pool A, bagi perlawanan seterusnya, penentuan kedudukan ke-5 hingga ke-8.
Pengendali Skuad Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menyifatkan bertemu bekas juara Sukan Olimpik, Great Britain, pemainnya telah memberikan sehabis baik apatah lagi pasukannya ke kejohanan ini tanpa tonggak senior yang mengalami kecederaan.
“Pengalaman yang dimiliki untuk bertemu pasukan seperti Great Britain merupakan sesuatu yang amat berharga terutamanya buat pemain-pemain muda.
“Walaupun kami ke kejohanan tanpa beberapa tonggak utama tetapi pemain-pemain senior dan pemain-pemain muda berjaya menampilkan satu persembahan yang baik.
“Pemain telah menunjukkan satu semangat juang yang cukup tinggi terutamanya pada suku ketiga dan keempat. Dalam dua suku terakhir tersebut, kami telah mengubah sedikit perancangan bagi mengekang lawan yang memiliki kelebihan dari segi fizikal serta kelajuan daripada terus menjaringan lebih banyak gol dan ianya berhasil.
“Kami akan mengkaji lawan yang akan kami temui pada aksi yang seterusnya iaitu pasukan di kedudukan ketiga dalam Pool A dalam usaha kami untuk mendapatkan kedudukan yang terbaik di kejohanan ini,” jelas beliau.
Suku pertama menyaksikan tiada sebarang jaringan terhasil walaupun Great Britain dilihat mengatur beberapa serangan menuju ke gawang negara.
Bagaimanapun segalanya berubah pada suku kedua apabila Great Britain meledak enam gol bermula dengan gol pukulan sudut penalti Hannah French pada minit ke-17 sebelum Isabelle Petter menjaringkan gol kedua hasil gerakan padang, diikuti jaringan Tessa Howard pada minti ke-24.
Tiga minit sebelum aksi separuh masa pertama ditutup, tiga lagi gol dihasikan Great Britain dengan dua gol pukulan sudut penalti masing-masing menerusi Giselle Ansley (m’27) dan Sarah Jones (m’29) sebelum Tessa Howard menjaringkan gol kedua peribadinya beberapa saat sebelum suku kedua berakhir.
Bersambung suku ketiga, Malaysia menukar penjaga gol dengan memasukkan Nur Hazlinda Zainal Abidin dan ianya dilihat sedikit sebanyak berjaya mengekang Great Britain daripada terus menambah jaringan apabila Nur Haslinda bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan Great Britain.
Bagaimanapun minit ke-43, kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki Great Britain menghasilkan satu lagi jaringan dengan kali ini Giselle Ansley menjaringkan gol kedua peribadinya untuk suku ketiga ditutup dengan kelebihan 7-0 buat Great Britain.
Gol pembakar semangat buat Malaysia hadir pada minit ke-56 apabila Nur Afiqah Syahzani Azhar berjaya membolosi gawang Great Britain menerusi gerakan padang namun seminit sebelum perlawanan sebenar berakhir, Great Britain dihadiahkan dengan satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti dan Hannah French menutup perlawanan dengan kemenangan 8-1 buat Great Britain.









