Kelayakan Olimpik 2024 (Wanita) : Malaysia Tutup Kempen Di Kedudukan Ke-8

Tewas 1-2 kepada Ukraine dalam aksi kedudukan ke-7 dan ke-8, Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, (Wanita) Valencia, Sepanyol, menyaksikan Malaysia menutup kempen kelayakan di kedudukan kelapan.

Ukraine menjaringkan dua gol pukulan sudut penalti pada minit ke-45 menerusi Anastasiia Voievoda dan Valeriia Rudychenko pada minit ke-52. Malaysia bagaimanapun berjaya mencuri satu gol menerusi gerakan padang, Fatin Shafika Mahd Sukri beberapa saat sebelum perlawanan sebenar berakhir untuk perlawanan ditutup, Malaysia tewas 1-2 kepada Ukraine.

Pengendali Skuad Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim sedikit kecewa dengan barisan pemainnya yang tidak memiliki kepercayaan yang tinggi dalam menjaringkan gol walaupun memiliki beberapa peluang terbaik termasuk kelebihan pukulan sudut penalti.

“Satu keputusan yang agak mengecewakan untuk saya namun pemain telah memberikan segala yang mereka miliki dan kami berjaya mencipta beberapa peluang, sayangnya pemain tidak memiliki keyakinan yang tinggi untuk mencipta penyudahan yang sempurna.

“Beraksi di Kelayakan Sukan Olimpik ini merupakan satu pengalaman yang cukup berharga untuk pemain-pemain dan kami percaya pasukan ini akan maju di masa hadapan namun kita perlu sedikit bersabar.

“Kami memliki beberapa peluang menerusi pukulan sudut penalti namun ianya tidak menjadi dan lawan juga bertahan dengan bagus.

“Kesilapan yang pemain lakukan di separuh masa kedua menyebabkan lawan dapat menjaringkan gol. Dipenghujung perlawanan, kami menggunakan “power play” untuk mendaptkan jaringan dan kami berjaya mencuri satu gol namun ia tidak cukup untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke penentuan shoot-out.

“Secara keseluruhan, sebagai satu pasukan yang rata-rata dibarisi pemain muda, dan pendedahan bermain dengan pasukan Eropah, saya beranggapan ini satu pendedahan yang cukup baik dan pasukan boleh mengambil pengalaman ini dengan positif.

“Kini kami tahu dimana kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memperkuatkan pasukan ini dan pemain telah mula percaya bahawa mereka boleh maju dan menjadi lebih baik dengan latihan yang lebih giat,” jelas beliau.