KHM Sambut Baik Kerjasama Dengan Astro, Penyiar Rasmi Piala Negara-Negara 2025

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyambut baik kerjasama dengan Astro yang tampil selaku penyiar rasmi bagi Kejohanan Piala Negara-Negara 2024-25 yang akan berlangsung pada 15 hingga 21 Jun ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur.

 

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berharap kerjasama antara pihak KHM dan Astro akan berterusan dan terus terjalin erat pada masa akan datang.

 

Jelasnya, keputusan memilih Astro sebagai penyiar rasmi kejohanan ini telah dibuat dalam oleh jawatankuasa kejohanan serta ia turut disambut baik pihak Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

 

“Kami ingin memaklumkan bahawa secara rasminya Astro akan menjadi penyiar utama bagi Kejohanan Piala Negara-Negara.

 

“Kami merasakan bahawa kita ada satu kesefahaman yang baik dan kami mudah mencapai kata sepakat. Namun intipati perbincangan saya tidak boleh kongsi tapi bagi saya Astro adalah rakan penyiaran yang terbaik.

 

“Kami gembira dan bangga, kita juga telah adakan mesyuarat dengan FIH, dan mereka sendiri memang setuju dan mengalu-alukan kehadiran Astro sebagai penyiar utama.

 

“Kami juga harap kerjasama dengan Astro akan berterusan dan jika segalanya berjalan dengan baik bukan sahaja Piala Negara-Negara mungkin banyak kejohanan-kejohanan lain kami rasa akan terus bekerjasama dengan Astro,” kata Datuk Seri Subahan Kamal.

 

Beliau turut memaklumkan bahawa segala persiapan sebagai tuan rumah kejohanan Piala Negara-Negara berjalan dengan lancar dan semua pihak memberi kerjasama sebaiknya.

 

Katanya, semua pasukan telah memberi pengesahan dan akan tiba di Kuala Lumpur bermula 8 Jun hingga 11 Jun nanti.

 

“Alhamdullilah semua dalam keadaan terbaik. Semua pasukan telah memberi pengesahan tentang kehadiran mereka.

 

“Pasukan yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan ini adalah pasukan kita Malaysia, Afrika Selatan, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Pakistan, Perancis dan Wales. Juara bagi kejohanan ini akan mendapat slot automatik bermain dalam Liga Dunia pada 2026.

 

“Kejohanan terakhir yang kita anjurkan adalah Piala Remaja Dunia 2023. Selepas itu pihak FIH telah banyak kali memohon supaya kita menganjurkan kejohanan antarabangsa kerana mereka merasakan kita penganjur yang terbaik, kita ada infrastutur bagus dan sebagainya.

 

“Kami juga menjadikan penganjuran kejohanan ini bagi mempromosikan Malaysia kerana 2026 adalah tahun melawat Malaysia,” jelasnya.

 

Datuk Seri Subahan Kamal turut memaklumkan bahawa pihaknya juga dalam proses membida beberapa kejohanan untuk dianjurkan di Malaysia tahun depan termasuk Kelayakan Piala Dunia yang dijangka berlangsung pada Februari atau Mac depan.

 

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John mengakui kerjasama ini adalah amat penting dan selari dengan objektif pihaknya untuk membantu membangunkan sukan negara.

 

“Kerjasama ini sangat penting. Jumlah tontonan hoki apabila pasukan kebangsaan bermain memang tinggi. Kita juga ada tanggungjawab dari segi Astro Arena untuk membangunkan sukan.

 

“Dari segi komersial juga kita akan bekerjasama untuk menaikkannya. Bagi pihak Astro, kepentingan itu melebihi daripada siaran langsung perlawanan sahaja. Kita harap kerjasama ini akan berterusan,” katanya.