Memegang status sebagai salah sebuah pasukan pilihan, Selangor membuka aksi mereka pada TNB Piala Tun Abdul Razak dengan langkah kanan apabila melakar kemenangan tipis ke atas tuan rumah, Johor 2-1 dalam saingan Kumpulan A di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Juara bagi edisi 2017, 2019 dan 2022 itu mengutip tiga mata penuh selepas pemain berpengalaman, Fazilla Slyvester Silin membolosi pintu gol tuan rumah pada minit ke-34 hasil jaringan padang.

Namun, skuad bimbingan, Ikmal Abdul Jabar itu dikejutkan dengan gol penyamaan yang disempurnakan oleh Atiqah Natasha juga melalui jaringan padang pada minit ke-43.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Nor Qashrina Azli tampil menyelamatkan maruah pasukan Lembah Klang itu apabila kembali meletakkan Selangor di depan 2-1 selang lima minit selepas gol penyamaan tuan rumah.

Johor yang diterajui jurulatih, Zamzam Mohamed Ali ditimpa kekalahan kedua, selepas mereka tewas 0-1 ditangan Pulau Pinang dalam aksi pembukaan, semalam.

Sementara itu, Pulau Pinang meneruskan rentak kemenangan selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menutup aksi kedua, hari ini, dengan keputusan 3-1 ke atas Perak.

Anak-anak buah jurulatih, A.N Leo Vincey itu, bermula agak perlahan selepas membiarkan Perak mendominasi dua suku pertama permainan dan ekoran kealpaan benteng pertahanan, gawang Pulau Pinang bocor hasil jaringan Nurain Atiqah Mohd Fauzi pada minit ke-17.

Pintu gol Pulau Pinang dibolosi lagi dan kali ini giliran Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri pula meletakkan Perak mendahului 2-0 pada minit ke-32.

Pulau Pinang yang seperti terjaga daripada tidur yang lena, mengubah rentak permainan mereka dalam babak kedua permainan dan usaha itu berhasil apabila mereka meledakkan tiga gol untuk mencipta kemenangan 3-2.

Tiga gol Pulau Pinang disempurnakan oleh Qhairunisya Mohd Hanili (minit ke-37) dan Nurfitrah Nadhia Shamsudin (minit ke-41, ke-44).

Dalam perlawanan Kumpulan B, Terengganu menundukkan Negeri Sembilan 1-0 dengan jaringan tunggal pasukan Pantai Timur itu disempurnakan oleh Nur Syuhada Suhaimi hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-52.

Young Tigress yang turut berada dalam kumpulan sama, membelasah Kuala Lumpur 7-0.

Tujuh gol skuad remaja Malaysia itu dijaringkan oleh Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha (minit ke-1, ke-3), Zati Alyani Muhamad Zubir (minit ke-26, ke-43, ke-55), Siti Nur Atika Shaikh Maznan (minit ke-32) dan Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi (minit ke-51).

Tags: