Malaysian Tigress menutup aksi Siri Perlawanan Latihan dan Ujian di Wales dengan keputusan seri 2-2 menentang tuan rumah di Cardiff, hari ini.
Skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim itu yang mengharungi enam perlawanan keseluruhan berdepan skuad kebangsaan Wales sepanjang dua minggu berada di negara itu mencatat tiga seri dan tiga kalah.
Dalam aksi terakhir yang merupakan perlawanan ujian ketiga dan yang keenam keseluruhannya menyaksikan Malaysia bangkit daripada kekalahan 0-2, semalam.
Bagaimanapun, dalam perlawanan, hari ini, pemain Wales, Olivia Hoskins terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-21 menerusi pukulan sudut penalti.
Malaysian Tigress yang tersentak dengan jaringan tersebut, hanya perlu menunggu selama dua minit untuk menyamakan kedudukan (minit ke-23) juga melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Zati Alyani Muhammad Zubir.
Caitlin Witham kembali meletakkan tuan rumah di depan dengan kedudukan 2-1 apabila memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit ke-28.
Bagaimanapun, Nurul Fatin Fatiah Azman menyumbat gol kedua pada minit ke-36 dan sekali gus, mengikat Wales dengan keputusan 2-2 sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.
Ketua jurulatih, Nasihin Nubli berkata, sepanjang berada di Wales, skuad negara berdepan dengan sebuah pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman dan memiliki permainan berkualiti tinggi.
“Rata-rata pemain Wales bermain di Liga Perdana Inggeris dan mereka berpangkalan di London.
“Perlawanan ujian ini merupakan sebahagian daripada persiapan akhir mereka bagi kelayakan Liga Eropah bulan hadapan,” katanya.
Menurut beliau, secara keseluruhan beberapa pemain remaja yang di bawa ke Wales mula menampakkan sedikit kematangan dalam permainan masing-masing.
Jelasnya, di atas faktor itu para pemain senior kini perlu bekerja keras untuk membuktikan mengapa mereka berhak berada di dalam skuad kebangsaan.
“Penambahbaikan perlu ada dalam pasukan dan akan terus dipertingkatkan apabila pulang ke tanah air nanti iaitu tahap kecergasan terutama daripada segi kelajuan dan kekuatan.
“Selain itu, teknik hoki iaitu kemahiran apabila bermain di bawah tekanan dan juga mentaliti seorang pahlawan perlu diterapkan dalam diri setiap pemain kebangsaan,” tegasnya.









