Malaysia Tutup Kempen Piala Dunia Dengan Kemenangan, Raih Tempat Ke-11

Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara menutup kempen Piala Dunia 2025 di Pusat Sukan Zatika, Porec, Croatia dengan kemenangan apabila menewaskan Trinidad & Tobago 6-4 dalam aksi penentuan tempat ke-11 dan ke-12, hari ini.

 

Semangat juang tinggi ditunjukkan para pemain apabila mempamerkan kebangkitan selepas terlebih dahulu ketinggalan 0-2 menerusi jaringan Mickell Pierre serta Darren Cowie pada minit ketujuh dan ke-10.

 

Muhammad Ashran Hamsani memulakan kebangkitan Malaysia dengan menjaringkan dua gol untuk menyamakan kedudukan sebelum Abdul Khaliq Hamirin meletakkan Malaysia mendahului (m-17).

 

Trinidad & Tobago bagaimanapun kembali di depan apabila Teague Marcano dan Jordan Vieira masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-20 dan ke-21.

 

Malaysia yang menerapkan corak permainan agresif dari mula meneruskan usaha mereka dan kapten Muhammad Najmi Farizal Jazlan meledak gol keempat pada minit ke-23 sebelum Khaliq menjaringkan gol kedua peribadinya 10 minit kemudian.

 

Gol terakhir perlawanan dijaringkan oleh Faridzul Afiq Mohd tiga minit sebelum tamat.

 

Lebih manis hari ini, Muhammad Ashran diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan selepas memperagakan aksi cukup baik.

 

Beliau mengakui, penyertaan pertama kali di Piala Dunia di Porec, Croatia memberi pendedahkan cukup baik bagi membentuk pasukan lebih mantap pada masa akan datang.

 

“Kami sudah mencapai sasaran pada perlawanan terakhir di mana kami mahu menamatkan saingan di kedudukan ke-11. Bagi saya, ini satu proses pembelajaran yang bagus untuk kami kerana sudah tentu ini kali pertama kami layak ke Piala Dunia.

 

“Kami ada banyak benda yang dipelajari untuk memperbaiki mutu permainan pada kejohanan seterusnya. Saya berharap kami sepasukan lebih baik dalam edisi Piala Dunia yang seterusnya,” kata Ashran.

 

Sementara itu, Ketua Jurulatih pasukan, Rodzhanizam Mat Radzi mengucap jutaan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada Pasukan Hoki Dalam Dewan Kebangsaan.

 

Katanya, banyak pembelajaran dan pengalaman ditimba pasukan negara pada penampilan pertama di Piala Dunia kali ini.

 

“Tahniah dan terima kasih kepada pemain-pemain, barisan pengurusan dan MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) serta semua yang memberi sokongan penuh kepada kita sepanjang persiapan dan bermain di Piala Dunia.

 

“Alhamdullilah kita menang pada aksi terakhir ke atas Trinidad & Tobago, untuk berada di kedudukan ke-11 secara keseluruhan.

 

“Saya rasa pemain-pemain sudah beri yang terbaik, kita tahu Piala Dunia ini adalah kejohanan yang tinggi. Ia satu pengalaman dan pembelajaran yang terbaik kita dapat di sini untuk dibawa pulang dalam membentuk pasukan kita pada masa hadapan,” kata Rodhanizam.