Skuad hoki wanita negara yang turun untuk aksi perlawanan persahabatan ketiga terpaksa akur tewas 1-2 kepada Wales dalam siri perlawanan latihan di Cardiff, Wales.
Malaysia bermula positif apabila Nur Shamine Azureen Mohammad Badusha meletakkan skuad kebangsaan di depan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-19.
Namun, kegembiraan Malaysian Tigress tidak kekal lama apabila pemain Wales meledakkan dua gol pada minit ke-26 dan ke-50 yang sekali gus meletakkan tuan rumah mendahului 2-1 dan keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat.
Ketua jurulatih skuad wanita kebangsaan, Nasihin berkata, walaupun anak-anak buahnya tewas tipis, namun, perlawanan itu menjadi persiapan terbaik buat mereka menjelang perlawanan ujian yang akan berlangsung Rabu ini.
“Saya ada melakukan beberapa perubahan posisi dan juga taktikal untuk diterapkan ke dalam perlawanan, hari ini, bagi melihat keberkesanan,” katanya ketika dihubungi dari Wales, hari ini.
Menurut beliau, walaupun menurunkan rata-rata pemain muda dan wajah baharu, tetapi, mereka mula menampakkan keserasian dengan pasukan.
“Bagaimanapun, ketiadaan Siti Nur Arfah yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan memberikan kesan kepada sedikit kepincangan dalam persembahan skuad negara,” ujarnya.
Jelas Nasihin, untuk tempoh dua hari berbaki sebelum perlawanan ujian, beliau berharap ianya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk proses pemulihan fizikal dan perbaiki dari sudut taktikal permainan.
Seramai 19 pemain terpilih untuk ke Wales dengan lima daripada mereka merupakan pemain muda yang masih belum mengumpul sebarang caps antarabangsa bersama pasukan senior kebangsaan.
Pemilihan barisan pemain dilakukan selepas menilai prestasi semasa mereka di mana sembilan daripadanya merupakan pemain remaja yang berusia 21 tahun dan ke bawah.
Beberapa pemain senior iaitu Hanis Nadiah Onn, Siti Zulaikha Husain, Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad dan Nuramirah Shakirah Zulkifli terpaksa diketepikan kerana masih belum pulih daripada kecederaan.









