Pasukan lelaki Maybank menjulang gelaran sulung selepas menundukkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-1 pada perlawanan akhir Liga Hoki Dalam Dewan (MIHL) 2024 di Pusat Sukan IOI Mall, Putrajaya, hari ini.

Kapten Maybank, Muhammad Najmi Farizal Jazlan muncul wira pasukannya selepas meledak hatrik yang kesemuanya disempurnakan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-13, ke-21 dan ke-22.

Tidak terhenti setakat itu, skuad bimbingan Iman Gobinathan terus memburu gol dan Muhamad Izham Azhar yang melakukan larian ke benteng pertahanan TNB pantas menguis bola menerjah ke pintu gol lawan untuk menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-30.

TNB yang melakukan penampilan sulung pada edisi kali ini, memperoleh gol sagu hati menerusi pukul sudut penalti yang dijaringkan oleh Shazril Irwan Nazli pada minit ke-33.

Skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim itu yang turut diperkuatkan beberapa pemain kebangsaan kurang bernasib baik apabila gagal membolosi pintu gol Maybank yang dikawal ketat penjaga gol Speedy Tigers, Muhamad Zaimi Mat Deris.

Keputusan perlawanan akhir itu kekal 4-1 sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Muhammad Najmi yang merupakan kapten Maybank berkata, kejayaan akhirnya berpihak kepada pasukannya bagi edisi kali ini.

“Kami telah bermain berhabis-habisan dan dalam perlawanan akhir ini, siapa sahaja yang bijak mengambil peluang, maka, dialah yang muncul sebagai pemenang.

“Hari ini kami berusaha meneruskan momentum, macam mana hendak bertahan dan saya seronok sebab rakan sepasukan di posisi pertahanan, serangan dan juga penjaga gol memberikan kerjasama yang cukup baik.

“Kami dapat bagi momentum dan semangat yang cukup luar biasa,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Najmi turut mengucapkan tahniah kepada penjaga gol Maybank, Muhamad Zaimi yang banyak menyelamatkan percubaan berbahaya TNB.

Ketika diminta mengulas mengenai penganjuran MIHL, tonggak Maybank itu memberitahu, liga tersebut merupakan satu inisiatif yang baik dalam usaha membangunkan sukan hoki dalam dewan.

“Saya sendiri apabila mula bermain dalam pasukan hoki dalam dewan ini, saya rasa serokok, kita kena biasakan diri untuk bantu sukan ini naik.

“Saya juga perhatikan begitu ramai bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan untuk bermain hoki dalam dewan,” ujarnya.

Tags: