Maybank, PDRM Blue Warriors Menang Besar Pada Aksi Pertama MIHL 2025

Juara bertahan, Maybank muncul pasukan mencatat jumlah jaringan paling banyak pada aksi sulung kempen Kejohanan TNB Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2025, Edisi Ke-4.


Skuad bimbingan Chairil Anwar A Aziz membuka saingan kali ini dengan kemenangan 14-2 ke atas JM Hawks di Dewan Sri Putra.


Pada aksi itu, Muhamad Izham Azhar muncul penjaring terbanyak buat Maybank apabila meledak lima gol manakala Mohamad Ashran Hamsani menjaringkan hatrik, diikuti dua gol menerusi Abdul Khaliq Hamirin.


Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah, Muhammad Nur Asyraf Ishak,Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini dan Muhammad Syawal Abd Razak masing-masing menjaringkan satu gol bagi memastikan Maybank memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan.


Bagaimanapun Ketua Jurulatih Maybank, Chairil menyifatkan kemenangan besar itu adalah jumlah biasa dalam perlawanan hoki dalam dewan.


Justeru, beliau enggan pemain-pemainnya mendabik dada kerana perjalanan liga masih jauh dan masih banyak yang perlu diperbaiki dalam permainan selain, menyesuaikan diri dengan gelanggang baharu.


“Menang dengan jumlah jaringan besar bagi sukan hoki dalam dewan adalah perkara biasa, ia bukan amaran kepada pasukan lain atau sebagainya. Secara keseluruhan saya patut beri kredit kepada semua pemain yang menunjukkan semangat dan komitmen yang tinggi sehingga mampu mencatat kemenangan besar seperti ini.


“Apa saya lihat perlawanan hari ini, pemain-pemain masih cuba menyesuaikan diri dengan permukaan gelanggang baharu. Saya harap kemenangan dan momentum pemain dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya,” katanya.


Sementara itu, pendatang baharu MIHL 2025 kategori wanita, PDRM Blue Warriors bermula garang apabila menewaskan Malaysia University dengan keputusan 7-0.


Bagi pengendali PDRM Blue Warriors, Saiful Azhar Mohd Afandi mengakui kemenangan pada perlawanan pertama memberi motivasi berharga buat anak buahnya.


Jelasnya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi pasukan namun sentuhan penyudah perlu dipertajamkan.


“Alhamdulilah… permulaan yang baik dengan kemenangan pertama untuk membina motivasi tinggi untuk pemain sebelum bertemu juara bertahan DBKL.


“Berpuas hati cuma ada beberapa perkara perlu diperbaiki untuk perlawanan seterusnya. Bahagian serangan perlu menggunakan peluang sebaiknya untuk menjaringkan gol terutama peluang di depan gol,” ujarnya.


Berikut merupakan lain-lain keputusan yang berlangsung.

LELAKI


Perlis Mighty Lions 0-5 DBKL HT
Terengganu Hockey Team 1-0 Malaysia University
Johor 0-4 Armed Forces HT
Tenaga Nasional Berhad 6-1 RMR HC
Perlis Mighty Lions 0-3 Terengganu Hockey Team


WANITA
DBKL HT 2-0 BNHC KL
MOHC-MHA 5-2 KL Wipers
CS Mustang HT 2-2 Mutiara MSSPP-PSHA-UNITEN
JM AURORAS 0-13 DBKL HT