Melaka dan Terengganu bakal membuat perhitungan dalam perlawanan terakhir Kumpulan B bagi menentukan siapakah yang akan mengiringi Young Tigress mara ke separuh akhir TNB Piala Tun Abdul Razak 2024 di Johor Bahru, esok.
Melaka menambah tiga mata pada aksi hari ini selepas menewaskan Kuala Lumpur, 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru.
Empat gol Melaka dijaringkan oleh Nur Shafika Mohd Shahruddin (minit ke-29), Umi Nur Absarina Azharr (minit ke-36), Norshafiqha Ishak (minit ke-38) dan Nur Fikriyah Aqilah Effendy (minit ke-53).
Kemenangan itu sekali gus meletakkan Melaka di tangga kedua Kumpulan B setelah mengumpul sembilan mata daripada empat perlawanan dan mereka kini masih mempunyai satu lagi perlawanan menentang Terengganu.
Young Tigress muncul satu-satunya pasukan yang mengesahkan slot ke separuh akhir, selepas menjuarai Kumpulan B dengan 13 mata daripada lima perlawanan.
Kini hanya satu tempat yang menjadi rebutan bagi Kumpulan B antara Melaka dan Terengganu selepas masing-masing mengutip sembilan dan tujuh mata.
Dua misi berbeza di bawa kedua-dua pasukan dengan Melaka hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke separuh akhir, manakala, Terengganu memburu kemenangan pada pertemuan itu nanti.
Ketua jurulatih Melaka, Muhammad Azim Zainuldin berkata, beliau berasa bangga dengan persembahan yang dipamerkan para pemainnya sewaktu berdepan Kuala Lumpur.
Ketika diminta mengulas mengenai peluang pasukannya menentang Terengganu, beliau memberitahu, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran bertemu pasukan tersebut dan berharap para pemain dapat beraksi tanpa sebarang tekanan.
“Saya kalau boleh tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada pemain-pemain, saya mahu mereka menikmati pertemuan itu nanti dan beraksi dengan tenang.
“Seperti pasukan lain, kami sudah tentu gembira jika dapat melayakkan diri ke separuh akhir,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan tamat.
Sementara itu, Young Tigress yang turun dalam aksi terakhir, hari ini, tidak berdepan masalah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 sekaligus mengekalkan rekod bersih tanpa kalah daripada lima perlawanan keseluruhan.
Jurulatih Young Tigress, Lailin Abu Hassan berkata, anak-anak buahnya tidak bermain dengan baik pada pertemuan itu dan hanya menemui rentak sebenar pada suku keempat.
“ATM bermain dengan baik dan mereka merupakan salah sebuah pasukan yang bagus dalam kejohanan ini.
“Kelemahan paling ketara yang dapat saya lihat ialah penyudah pukulan sudut penalti yang tidak bagus selain terdapat juga kekurangan lain yang perlu diperbaiki sebaik kami pulang ke Kuala Lumpur nanti,” katanya.