Kejayaan bersejarah Skuad Hoki 5s Lelaki mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 5s adalah satu pencapaian cukup menakjubkan – sekali gus membuka satu lembaran baru untuk mengorak langkah mendominasi pentas antarabangsa.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dato’ Seri Subahan Kamal menyuarakan rasa bangga dengan keringat dicurahkan oleh setiap pemain negara yang mengharumkan nama negara dalam kancah saingan itu di Muscat, Oman pada Selasa.
“Kami ucapkan tahniah atas kejayaan besar ini dan perkembangan disaksikan ketika ini hanya memberi satu isyarat betapa MHC harus memberi fokus lebih serius selepas ini. Begitu juga hoki dalam dewan yang juga makin meningkat dengan nota terpuji,” katanya dalam sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada pagi ini.
Dalam perlawanan akhir, Malaysia akan menentang Belanda, esok. Terdahulu dalam saingan separuh akhir skuad negara dibimbing oleh Wallace Tan menewaskan wakil Eropah, Poland 4-3 manakala Belanda menewaskan tuan rumah, Oman 5-3 dalam satu lagi saingan peringkat sama.
Subahan juga menyuarakan rasa gembira dengan usaha Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang sedia membantu pasukan negara daripada aspek kewangan untuk meniti lebih banyak lagi kejayaan pada masa hadapan.
“Menteri kita gembira di atas berita kejayaan ini dan dijangka bakal memikirkan program berikutnya untuk hoki 5s. Mungkin juga acara ini diserapkan dalam Sukan SEA dan Sukan Asia akan datang selepas kejayaan bersejarah ini di Muscat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, MHC juga memberi amaran kepada pengadil tempatan yang dikhabarkan mungkin memboikot Liga Hoki Malaysia (MHL) gara-gara tidak puas hati dengan pembayaran di atas sumbangan mereka.
“Bayaran diberi kepada pengadil mengikut kemampuan kami. Ada di kalangan mereka yang mengadili perlawanan antarabangsa tapi anehnya enggan untuk meniup wisel pada perlawanan tempatan.
“Kami akan menulis kepada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) untuk memberitahu pengadil ini tidak harus dibenarkan mengadili kejohanan. Jika mereka tidak puas hati dengan pembayaran diterima, mereka boleh memilih sukan lain kerana kami sudah ada bekalan pengadil yang cukup untuk kejohanan tempatan,” kata Subahan.
