Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan pembubaran Skuad Hoki Senior Lelaki dan Remaja pada Rabu, yang bererti tiada pasukan kebangsaan lelaki buat seketika ini selepas kontrak jurulatih terbabit sudah tamat.
Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal berkata perkembangan terkini ini menyaksikan pemain daripada kedua-dua pasukan sudah dilepaskan untuk beraksi bersama pasukan kelab masing-masing bagi kancah saingan Liga Hoki Kebangsaan yang bermula, esok (1 Februari).
Beliau juga menambah Jawatankuasa Kejurulatihan MHC diketuai Datuk Majid Manjit Abdullah dijangka bermesyuarat Ahad ini untuk mengkaji dan membuat proses pemilihan calon baru jurulatih skuad senior dan remaja.
“Kita tunggu laporan mengikut proses penuh sebelum sebarang keputusan dalam usaha membina semula pasukan melangkah ke satu babak yang baru. Nampaknya, terlalu awal lagi ketika ini untuk menyebut apa-apa,” katanya pada sidang media di Buit Jalil, pada Rabu (31 Januari).
“Tapi apa yang nampak wajar adalah dalam tempoh satu bulan ini kita perlu menamakan ketua jurulatih untuk tempoh baru. Ini kerana pertandingan Piala Azlan Shah, akan bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi,” kata Subahan.
Posisi ketua jurulatih senior, A Arul Selvaraj – antara pengendali yang sudah ditamatkan kontrak sebaik tamat kelayakan Olimpik di Muscat, Oman, baru-baru ini, juga bakal diketahui tidak lama lagi.
Dalam kejohanan berkenaan, skuad Malaysia gagal layak ke Sukan Olimpik di Paris, Julai ini selepas hanya mampu menghuni tangga kelima daripada lapan pasukan.
Kali terakhir pasukan negara beraksi di Sukan Olimpik ialah pada 2000 di Sydney, Australia.
Seorang lagi ketua jurulatih terbabit adalah adalah Muhammad Amin Rahim yang membimbing skuad muda negara untuk menghuni tempat ke-12 dalam Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur, Disember, tahun lalu.
“Saya serahkan kepada budi bicara jawatankuasa kejurulatih dan anggotanya untuk membuat satu keputusan yang tepat demi kebaikan pemain dan pasukan negara,” katanya.
Subahan juga tidak memberi sebarang gambaran awal sama ada jurulatih asing akan dipilih kali ini, dan serahkan semua keputusan kepada jawatankuasa jurulatih yang diketuai oleh Datuk Manjit Abdullah (juga naib president MHC).
“Ketika ini soal jurulatih asing atau tempatan bukan satu keutamaan tapi fokus kepada kaedah membina semula pasukan negara yang mampu mencabar di pentas antarabangsa dengan keputusan lebih positif,” katanya.
Beliau juga menambah hoki negara akan akan berdepan jadual ketat musim ini, termasuk Piala Azlan Shah, Trofi Juara-juara Asia, kejohanan hoki dalam dewan dan beberapa lagi kejohanan yang perlu diberikan keutamaan seimbang.
Sambil itu, beliau juga menyuarakan padangannya betapa perlu Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) membantu dan melihat kepada status pasukan Asia untuk layak ke Sukan Olimpik pada masa akan datang.









