New Zealand Jadikan PSAS Medan Bina Pemain Mentaliti Menang

New Zealand mahu menjadikan kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 sebagai platform untuk mereka membentuk mentaliti menang dalam setiap diri pemain sebelum ke Sukan Olimpik Paris Julai nanti.

Kejohanan ini menjadi salah satu persediaan terbaik untuk New Zealand dan perkara itu diakui ketua jurulatihnya, Greg Nicol, yang mengakui PSAS adalah antara kejohanan yang berprestij dalam arena hoki antarabangsa.

Tegasnya, objektif utama yang ingin dicapai di sini adalah membentuk mentaliti menang dalam kalangan pemain, selain menguji beberapa pemain baharu sebelum menyenaraikan barisan terbaik ke Paris.

Tiga pemain muda yang beraksi di Piala Dunia Remaja 2023 turut disenaraikan dalam pasukan ini iaitu Scott Cosslett, Jonty Elmes dan Luke Holmes.

“Objektif pertama saya di sini (PSAS) adalah membina dan menerapkan mentaliti menang dalam diri setiap pemain, ini amat penting kerana kami bakal beraksi di Sukan Olimpik.

“Selain itu, saya juga menyenaraikan beberapa pemain baharu untuk menilai prestasi mereka bagi memberi lebih banyak pilihan kepada saya dalam memilih senarai akhir pemain ke Paris.

“Tiga pemain muda yang bermain di Piala Dunia remaja turut dipanggil buat kali pertama dalam pasukan senior iaitu Scott, Jonty dan Luke,” katanya.

New Zealand akan membuka tirai pertandingan PSAS 2024 menentang Kanada pada Sabtu ini.

Ketika ditanya mengenai aksi persahabatan menentang Malaysia semalam, (hari Rabu) Nicol tidak terlalu bimbang mengenai kekalahan 2-3 dicatat pasukannya, malah ia adalah satu pembelajaran berguna buat pemain.

“Perlawanan yang bagus dan kita tahu Malaysia pasukan yang baik. Mereka berbahaya jika diberi ruang yang banyak.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati, ia satu pembelajaran yang bagus untuk pasukan sebelum memulakan aksi sebenar,” jelasnya.

Untuk rekod, New Zealand muncul juara Piala Sultan Azlan Shah pada 2012 dan 2015 manakala lima kali menamatkan saingan di kedudukan ketiga iaitu 1993, 2005, 2008, 2009 serta 2016.

Black Sticks hadir ke Ipoh tanpa tujuh tonggak utama yang membawa pasukan itu layak ke Paris sewaktu kelayakan Olimpik di Oman Januari lalu, disebabkan mereka bermain di liga Eropah.

Selepas berakhir PSAS, New Zealand akan bermain di Piala Negara-negara di Gniezno, Poland pada 31 Mei- 9 Jun.