KUALA LUMPUR (22 November 2017): Selepas pasukan hoki wanita Pahang mengesahkan slot semalam, tiga lagi pasukan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selangor dan Kuala Lumpur turut mara ke separuh akhir saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 setelah menamatkan perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Hoki Kuala Lumpur tadi.
Selangor dan Johor turun dengan misi hidup mati kerana hanya pasukan yang menang akan mara daripada kumpulan B setelah satu lagi slot sudah diisi oleh ATM yang terlebih dahulu layak selepas menewaskan Melaka 1-0 pada sebelah pagi tadi.
Kedua-dua pasukan memperagakan aksi menyerang untuk memburu gol pendahuluan. Bagaimanapun, Selangor berjaya di depan melalui pukulan sudut penalti Nurul Shafiqah Mat Isa pada minit ke-26 sebelum satu lagi jaringan padang dihasilkan Ellya Syahirah Ellias seminit kemudian untuk pasukan itu menamatkan separuh masa pertama dengan 2-0.
Seolah-olah mendapat keyakinan selepas mendahului dua gol di depan, Selangor terus menyerang mencari jaringan. Usaha mereka berhasil pada minit ke-32 apabila Nor Atira Mohamad Ismail menyumbat masuk gol ketiga hasil jaringan padang. Tidak cukup dengan itu, Selangor menambah lagi satu gol pada minit ke-42 menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Raja Norsharina Raja Shabuddin untuk kedudukan menjadi 4-0.
Pasukan Johor cuba bangkit untuk merapatkan jurang dan mereka menemui gol pertama pada minit ke-52 hasil jaringan padang Hanis Nadiah Onn. Walau bagaimanapun, Fatin Shafikah Mohd Sukri menutup terus kebangkitan pasukan Johor apabila meledak gol kemenangan pasukan Selangor hasil jaringan padang pada minit ke-54 untuk membawa pasukannya mara selaku juara Kumpulan B.
Ikmal Abdul Jabbar selaku jurulatih pasukan Selangor berkata, “Saya yakin dengan kemampuan pemain saya dan inilah apabila mereka turun beraksi tanpa tekanan, mereka berjaya mengawal emosi dan berjaya mendapatkan gol awal, ia sekaligus memberikan kita keyakinan untuk bermain dengan rentak kita sendiri. Keyakinan pemain nampak tinggi berbanding perlawanan sebelum ini.
“Kalau ikutkan kita memang bermain dengan rentak menyerang cumanya dalam dua perlawanan awal pemain mungkin sedikit tertekan. Jadi saya lebih memberi suntikan moral supaya pemain lebih enjoy dalam permainan hoki dan hari ini mereka telah membuktikannya. Di separuh akhir, semua pasukan ada kelemahan dan kelebihan namun saya akan pastikan pemain saya berada pada tempo tertinggi nanti,” katanya selepas perlawanan.
Dalam aksi kumpulan A selepas itu menyaksikan Perak berjaya mengatasi Terengganu dengan keputusan 3-0. Apapun, Perak gagal mara setelah dipintas Kuala Lumpur berdasarkan kelebihan jaringan biarpun mereka berkongsi enam mata.
Kuala Lumpur yang turun di sebelah malam mengesahkan kemaraan selepas membenam Indonesia 8-1 untuk mara selaku naib juara kumpulan mengiringi Pahang. Gol kemenangan pasukan Kuala Lumpur disumbangkan empat gol oleh Nur Zafirah Aziz (gol padang min ke-5 min ke-27, min ke-48 dan pukulan sudut penalti min ke-8), seterusnya Nur Suraya Ashikin pada minit ke-21 menerusi pukulan sudut penalti, Shahiera Syazreen melalui pukulan sudut penalti minit ke-24, gol padang oleh Norazlin Sumantri pada minit ke-33 dan satu lagi gol padang Nur Fatin Zariza pada minit ke-36. Gol tunggal Indonesia yang juga satu-satunya gol mereka dalam kejohanan ini disumbat oleh Isnawati menerusi jaringan padang pada minit ke-49 perlawanan.
Esok akan berlangsungnya perlawanan penentuan kedudukan ke-5 hingga ke-8 melibatkan pasukan Perak, Terengganu, Johor dan Melaka di venue sama bermula pukul 4.00 petang.
Keputusan Penuh:
Melaka 0-1 ATM (Kumpulan B)
Johor 1-5 Selangor (Kumpulan B)
Perak 3-0 Terengganu (Kumpulan A)
Kuala Lumpur 8-1 Indonesia (Kumpulan A)
Kumpulan A- Juara Pahang, Naib juara Kuala Lumpur
Kumpulan B- Juara Selangor, Naib juara ATM
Jadual Separuh Akhir (Jumaat, 24 November 2017)
4.00PM- Pahang Lwn ATM
6.30PM- Selangor Lwn Kuala Lumpur
*Semua perlawanan di Stadium Hoki Kuala Lumpur









