Dibarisi rata-rata pemain kebangsaan tidak menjamin laluan mudah buat Terengganu, apabila pasukan Pantai Timur itu hampir disekat Perak sebelum mencatat kemenangan tipis 6-5 pada pertemuan Kumpulan B TNB Piala Tun Abdul Razak 2024 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, semalam.

Malah, pintu gol Terengganu yang dikawal penjaga gol Speedy Tigers, Muhammad Zaimi Mat Deris bocor seawal minit ketiga hasil jaringan padang oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal untuk meletakkan Perak mendahului 1-0.

Skuad bimbingan, Asrul Hisyam Ahmad itu yang tersentak dengan gol tersebut, bangkit melancarkan serangan ke kubu lawan dan mereka tidak perlu menunggu lama apabila tonggak kebangsaan, Faizal Saari menyumbat gol penyamaan selang tiga minit selepas itu menerusi pukulan sudut penalti.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga suku pertama berakhir dan sebaik permainan disambung semula, Perak kembali memintas Terengganu 2-1 hasil gol padang Syed Izzul Akmal Syed Alik pada minit ke-17.

Terengganu terpaksa menanti sehingga hujung aksi suku kedua untuk menyamakan kedudukan kepada 2-2, terima kasih kepada gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-30.

Sebaik permainan disambung semula untuk suku ketiga, Perak tampil lebih agresif apabila meledakkan dua gol menerusi Aiman Safwan Abdullah (minit ke-39) dan Muhammad Azrai (minit ke-41) yang menyaksikan pasukan dari utara tanah air itu mendahului 4-2.

Terengganu yang enggan mengaku kalah, merapatkan jurang gol kepada 4-3 melalui Mohd Fitri Saari pada minit ke-47.

Mohd Fitri terus beraksi cemerlang apabila meledakkan dua gol lagi untuk mencipta hatrik pada minit ke-53 (pc) dan ke-54 (gol padang) bagi meletakkan Terengganu mendahului 5-4.

Perak yang diterajui K. Rajan, menjadikan pertembungan kedua-dua pasukan semakin menarik apabila gol padang Muhammad Luqman Hakim Mohammad Asri pada minit ke-59 mengikat kedudukan menjadi 5-5, sebelum Muhammad Firdaus Hakimi Alias muncul wira Terengganu memastikan kemenangan pasukannya pada minit ke-60.

Kejayaan tersebut menyaksikan Terengganu mengungguli Kumpulan B dengan sembilan mata, manakala, Perak di tangga kedua mengumpul enam mata.

Sementara itu, dalam perlawanan lain Kumpulan B, Negeri Sembilan diikat Melaka 2-2, manakala, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 7-1.

Keputusan seri yang dicatat Negeri Sembilan membolehkan mereka mendaki tangga ketiga setelah mengutip empat mata, manakala, ATM ditempat keempat dengan tiga mata.

Melaka dan PDRM pula, masing-masing berada di kedudukan dua tercorot iaitu di tangga keenam serta ketujuh.

Dalam pada itu, Pahang yang mengetuai Kumpulan A dengan sembilan mata menundukan Pulau Pinang 3-2, sementara, Kuala Lumpur yang menghuni tempat kedua (6 mata) menewaskan Perlis 2-0 dan tuan rumah, Johor membenam Selangor 4-0 di kedudukan ketiga (6 mata).

Tags: