Piala Asia Wanita 2017: Malaysia Tamatkan Peringkat Kumpulan Di Kedudukan Ketiga

Selepas melalui dua perlawanan Piala Asia Wanita 2017 dengan satu kemenangan dan satu kekalahan, pasukan hoki wanita kebangsaan menamatkan perlawanan terakhir kumpulan A dengan kekalahan 0-2 kepada pasukan India sebentar tadi.

Turun dengan misi mencari mata bertemu India yang berada pada ranking ke-12 dunia, pasukan negara berjaya merantai gerakan pemain pasukan itu untuk mengakhiri suku pertama dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Di suku berikutnya, kedua-dua pasukan berusaha memburu jaringan namun tetap buntu menyaksikan keputusan seri 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, usaha kedua-dua pasukan untuk mencari gol juga tidak berhasil pada mulanya. Bagaimanapun, sepuluh minit terakhir nyata menjadi milik pasukan India. Mereka berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-54 melalui gol padang Vandana Katariya sebelum Gurjit Kaur menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit kemudian untuk kemenangan mutlak pasukannya.

Dengan keputusan itu, Malaysia menamatkan perlawanan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga kumpulan A. Mereka menanti pasukan yang bakal menghuni tangga kedua kumpulan B untuk ditemui di peringkat suku akhir. Perlawanan suku akhir Piala Asia Wanita 2017 akan berlangsung pada hari Khamis ini.