Pulau Pinang, Kuala Lumpur Lengkapkan Slot Pusingan Seterusnya

Dua slot untuk ke pusingan seterusnya yang masih berbaki bagi Kumpulan C, Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak (Wanita) 2021 akhirnya diisi oleh Pulau Pinang dan Kuala Lumpur selepas kedua-dua pasukan sah bergelar juara dan naib juara kumpulan. Pulau Pinang muncul juara Kumpulan C dengan rekod tanpa kalah dan mengumpul sembilan mata maksimum selepas menundukkan Sarawak 3-1 dalam aksi terakhir kumpulan dan Kuala Lumpur muncul naib juara Kumpulan C dengan mengumpul empat mata keseluruhan selepas mengecewakan Terengganu 3-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung hari ini. Kuala Lumpur yang turun dengan misi wajib menang pada aksi terakhir peringkat kumpulan untuk memastikan slot ke pusingan seterusnya tidak menunggu lama untuk merobek gawang Terengganu apabila Hasya Syahida Saifuddin membuka tirai jaringan pada minit ke-12. Terengganu bagaimanapun dilihat cuba untuk mengejar kedudukan tersebut selepas Auni Atikah Gahni menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-18 dan kedudukan kekal hinggga tamat separuh masa pertama. Tiga minit bersambung separuh masa kedua, Kuala Lumpur terus menjarakkan jurang gol kali ini kelebihan pukulan sudut penalti digunakan sebaiknya oleh bekas pemain kebangsaan, Nur Syafiqah Mohd Zain dan minit ke-44, giliran Siti Nur Amira Azmi menyempurnakan kelebihan pukulan sudut penalti untuk kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan dan sekaligus membawa Kuala Lumpur ke pusingan seterusnya. Ketua Jurulatih Skuad Kuala Lumpur, Kannagi Arumugan memuji pemainnya yang memastikan misi hidup mati pada perlawanan hari ini dilunaskan dengan kemenangan walaupun dua perlawanan yang lepas tidak berapa menjadi. “Dua perlawanan pertama dalam peringkat kumpulan terdapat banyak kesilapan darisegi persefahaman terutamanya. Perlawanan hari ini kami memang telah melakukan perancangan rapi kerana ia adalah misi hidup atau mati. “Tidak seperti Terengganu yang hanya mencari keputusan seri, kami perlukan kemenangan jadi kami naikkan motivasi pemain dan beritahu kepada pemain bahawa kami tiada pilihan dan kami perlukan kemenangan untuk layak ke pusingan seterusnya,” jelasnya. Dalam satu lagi aksi yang berlangsung, Pulau Pinang tidak berdepan masalah untuk memastikan rekod tanpa kalah dalam saingan kumpulan kekal dengan kemenangan 3-1 yang direkodkan pada pertemuan terakhir itu. Pulau Pinang bagaimanapun perlu menunggu hingga minit ke-39 untuk menjaringkan gol pertama selepas kelebihan pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Allisya Yushira Badri. Pulau Pinang menggandakan jaringan pada minit ke-51 hasil jaringan padang Siti Nur Arfah Mohd Nor. Sarawak bagaimanapun cuba untuk mengejar kedudukan tersebut menerusi gol gerakan padang oleh Elizaberth Epui anak Martin pada minit ke-53 namun berselang seminit kemudian, Pulau Pinang memastikan kemenangan mutlak milik mereka apabila kapten pasukan, Putri Nur Batrisyia Nornawawi menjaringkan gol ketiga untuk Pulau Pinang dan kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan. Enam slot di pusingan Kumpulan X-Y telah lengkap bagi kategori wanita dan menerusi undian yang dilakukan selepas tamat perlawanan terakhir pagi ini, Kumpulan X dihuni oleh Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur sementara Kumpulan Y diisi oleh Melaka, Kedah dan Pulau Pinang.   JADUAL PERLAWANAN (Rabu, 17/11/21) Wanita Kumpulan X-Y (9.30 pagi) NHS 1: Pahang mln Selangor NHS 2: Melaka mln Kedah   Kumpulan W-Z (7.30 pagi) NHS 1: Negeri Sembilan mln Perak NHS 2: Sabah mln PDRM