Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh mengakui kecewa dengan keputusan yang dicatat anak-anak buahnya menentang Jepun yang berkesudahan Malaysia tewas dalam perlawanan penentuan tempat ke-5/6 pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Moqi 2024, hari ini.

Kejohanan yang berlangsung di Hulunbair, Inner Mongolia, China itu menyaksikan Speedy Tigers tewas 2-4 kepada Jepun menerusi penentuan shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 dalam 60 minit perlawanan sebenar.

Sarjit berkata, para pemainnya melepaskan gol yang agak mudah dan membenarkan Jepun melakukan kebangkitan pada pertemuan itu.

“Menamatkan kempen dengan keputusan yang mengecewakan, kami ada peluang untuk menjaringkan gol, tetapi, kurang klinikal di dalam ‘D’.

“Setiap kali kami mendahului, pasukan lawan berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan dengan memberi gol-gol yang tidak sepatutnya,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu, bagaimanapun, mengakui anak-anak buahnya telah berusaha keras, namun, kesilapan mudah telah memusnahkan harapan Malaysia untuk memenangi perlawanan hari ini.

“Kami tidak menjangkakan perlawanan akan berakhir dengan ‘shoot-out’ kerana kami yakin kami mampu untuk menamatkan perlawanan dalam tempoh 60 minit,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai prestasi keseluruhan skuad bimbingannya itu, beliau memberitahu, secara ringkas ada beberapa perlawanan para pemain bermain baik kecuali bertemu India dan China.

Jelasnya, para pemain perlu memperbaiki beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti dan mesti tahu bermain untuk menang terutama apabila mendahului pihak lawan pada lima minit terakhir permainan.

Empat gol Malaysia yang dijaringkan dalam 60 minit permainan disempurnakan oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook (minit ke-5), Faizal Saari (minit ke-21, minit ke-32) dan Mohd Fitri Saari (minit ke-47).

Sementara itu, gol Jepun diledakkan menerusi Kazumasa Matsumoto (minit ke-3, ke-37), Yuki Chiba (minit ke-24) dan Seren Tanaka (minit ke-59).

Untuk aksi penentuan shoot-out, gol Speedy Tigers diperoleh melalui Faizal dan Norsyafiq Sumantri, manakala, pasukan Samurai disempurnakan menerusi Kosei Kawabe, Matsumoto, Seren Tanaka dan Tsubasa Tanaka.

Tags: