Kemenangan ke atas Pulau Pinang 3-1, melonjakkan Selangor di kedudukan teratas Kumpulan A yang turut menyaksikan wakil dari Lembah Klang itu mengukir kejayaan kedua berturut-turut dalam saingan hoki wanita TNB Piala Tun Abdul Razak 2024 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
Skuad bimbingan Ikmal Abdul Jabar itu yang kini mengumpul enam mata, tidak perlu menunggu lama apabila meledakkan gol pembukaan menerusi Nur Atira Mohamad Ismail seawal minit ke-3.
Bagaimanapun, pemain Pulau Pinang, Ainnur Insyirah Khairul menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-23 dan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.
Selepas permainan disambung semula, kerja keras Selangor untuk memburu jaringan pendahuluan berhasil apabila Suhaila Sata menyempurnakan gol padang pada minit ke-33.
Selangor yang terus beraksi agresif melebarkan kedudukan menjadi 3-1, apabila pemain kebangsaan, Nurul Syafiqah Mat Isa menyumbat gol ketiga pasukannya menerusi penalti strok hanya selang dua minit selepas itu.
Kekalahan yang menimpa Pulau Pinang menyaksikan skuad bimbingan A.N Leo Vincey itu terpaksa akur di tangga kedua walaupun turut mengumpul enam mata selepas dipisahkan dengan perbezaan jaringan di belakang pendahulu, Selangor.
Bagaimanapun, pasukan Pulau Mutiara itu telahpun mengharungi tiga pertemuan berbanding Selangor yang memiliki kelebihan satu perlawanan di tangan.
Dalam pada itu, Pahang yang turut berada dalam Kumpulan A, mencatat kemenangan pertama daripada dua perlawanan selepas membenam Johor 4-0. Empat gol yang diperoleh skuad bimbingan Nuraini Abdul Rashid itu disumbangkan oleh Wan Norfaiezah Mohd Saiuti ( minit ke-25), Surizan Awang Nor (minit ke-38) dan Wan Nur Syafiqah Syahirah (minit ke-49, ke-51).
Sementara itu, untuk aksi Kumpulan B, Melaka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan hasil jaringan Umi Nur Absarina Azhar menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-45.
Melaka kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan A dengan enam mata daripada tiga perlawanan.
Turut melakar kemenangan ialah pasukan yang berada di tangga kedua, Terengganu selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1.
Pasukan dari Pantai Timur tanah air itu memperoleh gol menerusi Nur Hazwani Sofiya (minit ke-38) dan Nurul Ain Nordin (minit ke-47), manakala, Juliani Mohd Din menjaringkan gol sagu hati ATM pada minit ke-20.