Selangor dan Young Tigress akan berentap di pentas akhir bagi menentukan pasukan yang berjaya merangkul gelaran Juara pada Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abdul Razak edisi ke-9 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, esok.

Pasukan Lembah Klang itu yang merupakan juara 2017, 2019 dan 2022, mara ke perlawanan akhir hoki wanita selepas membelasah Terengganu 4-0 pada peringkat empat terbaik, hari ini.

Skuad bimbingan Ikmal Abdul Jabar itu membuka jaringan menerusi Ellya Amanina Ellias seawal minit keenam menerusi pukulan sudut penalti.

Tiga lagi gol Selangor disumbangkan oleh Nur Ain Balqis Mohd Shamsul (minit ke-8), Qumyra Allysyia Iman Mohd Rizal (minit ke-35) dan Soraya Dania Rahimi (minit ke-39).

Ikmal berkata, persembahan yang dipamerkan skuad bimbingannya sepanjang pusingan awal sukar untuk diramal, tetapi, mereka akhirnya berjaya mengatasi kekurangan itu.

“Saya gembira menyaksikan cara pemain-pemain saya beraksi, hari ini, kami mendominasi permainan sejak awal saingan lagi dan tidak membuka ruang kepada Terengganu melakukan kebangkitan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan berakhir.

Mengulas pula mengenai final berdepan skuad muda kebangsaan, jurulatih yang membimbing Selangor sejak 2017 itu memberitahu, pasukannya menghormati Young Tigress yang merupakan sebuah pasukan lebih baik berbanding Selangor.

“Kami akan bermain mengikut cara kami, tiada tekanan buat para pemain dan saya mahu mereka beraksi dengan tenang dan menikmati pertemuan itu,” ujarnya.

Kapten Selangor, Nurul Syafiqah Mat Isa yang pernah mewakili skuad kebangsaan pada Kejohanan FIH Hoki Wanita Siri Akhir di Ireland melahirkan rasa terujanya beraksi pada final keenamnya.

“Kami telah bekerja keras untuk melakar kemenangan, pasukan terlalu gembira dengan kejayaan ini dan kami akhirnya mara ke final sekali lagi, seronok kalau dapat menjulang trofi sekali lagi,” katanya.

Selangor merupakan naib juara pada edisi 2023, selepas mereka tewas di tangan Sabah 1-2 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam satu lagi separuh akhir, Young Tigress yang dibimbing Lailin Abu Hassan membedil Perak 5-0 untuk menempah laluan ke pentas akhir.

Lima gol Young Tigress diledakkan oleh Siti Nur Irdina Mohd Nor (minit ke-16), Zati Alyani Muhamad Zubir (minit ke-25, ke-33, ke-34) dan Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi (minit ke-32).

Kapten Young Tigress, Anith Humaira Baharudin ketika ditemui berkata, struktur permainan pasukannya kini lebih baik berbanding pada awal kejohanan.

“Hari ini, kami lebih banyak menyerang dan kami akan terus mengekalkan momentum sama sewaktu menentang Selangor nanti dengan harapan dapat mencatat keputusan yang positif,” katanya.

Admin
Tags: