Skuad Senior Lelaki Kebangsaan Mulakan Kempen Sukan Asia Dengan Langkah Kanan

Temasya Sukan Asia 2022, Hangzhou, edisi ke-19, bagi acara hoki membuka tirai secara rasmi hari ini dengan Malaysia yang turun membuka kempen kejohanan bertemu Thailand berjaya menundukkan lawan mereka, 9-0 pada aksi yang berlangsung di Gongshu Canal Sports Park Stadium.

Sembilan gol Malaysia terhasil hari ini menerusi lima gol gerakan padang yang disumbangkan dua daripada oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, dua daripada Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan satu menerusi gol Muhammad Firhan Ashaari. Empat lagi gol pukulan sudut penalti dijaringkan dua daripadanya oleh Muhammad Aminuddin Mohd Zain sementara Abdul Khaliq Hamirin dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar, masing-masing menjaringkan satu gol.

Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A.Arulselvaraj menyifatkan aksi yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya adalah memuaskan dan terdapat ruang untuk penambahbaikan yang perlu dilakukan menjelang aksi kedua.

“Satu permulaan yang diinginkan, kemenangan 9-0 hasil lima gol padang dan empat gol pukulan sudut penalti. Proses pasukan bermula daripada perlawanan pertama hari ini, dan setiap pemain bersemangat untuk bermain. Namun sedikit sebanyak terdapat kesilapan taktikal yang berlaku hari ini dan kami akan perbaiki.

“Pasukan akan berehat lebih kurang 50 jam sebelum turun untuk aksi kedua bertemu Oman. Kami akan melihat permainan pasukan Oman hari ini untuk mendapatkan gambaran menegenai kekuatan dan kelemahan pasukan lawan.

“Bagaimanapun, fokus akan lebih diberikan kepada pasukan kami sendiri iaitu cara permainan kami, disiplin pasukan dan konsep serta posisi pemain di atas padang. Kami akan memberikan tumpuan kepada proses pasukan terlebih dahulu berbanding lawan,” jelas beliau.

Aksi pembukaan menyaksikan Malaysia mendahului selesa 3-0 pada separuh masa pertama hasil gol pembukaan pada minit ke-8 oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal diikuti gol Muhammad Firhan Ashaari pada minit ke-21 dan beberapa saat sebelum perlawanan separuh masa pertama berakhir, pemain yang kembali menyertai pasukan selepas berehat panjang ekoran kecederaan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi meletakkan Malaysia selesa dihadapan.

Bersambung separuh masa kedua, pada minit ke-32, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi memastikan sentuhan gol beliau masih lagi berbisa apabila bijak menerima bola hantaran Faiz Helmi Jali daripada kawasan tengah “D” lawan untuk membuat satu tolakan yang berjaya menewaskan penjaga gol Thailand.

Kesilapan penjaga gol Thailand yang cuba menyelamatkan percubaan Malaysia menyumbang kepada gol kelima negara selepas bola yang diselamatkan muntah di hadapan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Azrai Aizad menggunakan kelebihan tersebut untuk menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-34.

Dua minit sebelum aksi suku ketiga tamat, Muhammad Aminuddin Mohd Zain muncul penjaring dua gol berturut-turut Malaysia hasil kelebihan pukulan sudut penalti bermula dengan satu flik mencari sudut sebelah kiri lawan yang gagal diselamatkan, satu lagi flik di sudut bawah sebelah kanan pintu gol Thailand juga gagal dinafikan untuk Malaysia terus melebarkan jurang gol 7-0.

Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti ketujuh dan kali ini kedudukan Abdul Khaliq Hamirin yang tidak dikawal disebelah kiri pintu gol lawan memudahkan beliau untuk melakukan tindakan susulan selepas flik terus Malaysia ditepis dan bola yang jatuh dihadapan beliau mudah untuk ditolak pada minit ke-57.

Jaringan kemenangan iaitu gol kesembilan Malaysia hadir hasil satu lagi tindakan susulan pukulan sudut penalti yang berjaya ditampan penjaga gol Thailand. Kali ini giliran Muhammad Amirul Hamizan Azahar memastikan peluang yang dimiliki iaitu bola yang berada di hadapan beliau disudahkan dengan gol yang sekaligus menutup perlawanan pertama dengan kemenangan bergaya 9-0 Malaysia ke atas Thailand.

Malaysia akan turun bertemu Oman untuk aksi kedua Kumpulan B, Temasya Sukan Asia 2022, pada Selasa (26 September) jam 11:15 pagi.