Skuad Wanita Negara Tewas 0-4 Kepada China

Perlawanan keempat pusingan round robin, Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2023 yang berlangsung di Marang Gomke Jaipal Singh Astroturf Hockey Stadium Ranchi, India, menyaksikan Malaysia akur tewas 0-4 kepada China.

Walaupun tewas kepada Juara Sukan Asia 2022 itu, tentangan berjaya diberikan oleh pasukan negara yang menyukarkan 10 daripada 13 kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki lawan dan memaksa lawan menunggu sehingga suku kedua untuk memecah kebuntuan jaringan.

China membuka tirai jaringan menerusi kelebihan pukulan sudut penalti keempat pada minit ke-16 yang dijaringkan oleh Zhong Jiaqi sebelum giliran Zou Meirong menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minti ke-22.

Beberapa saat sebelum aksi separuh masa pertama berakhir, Zhong Jiaqi sekali lagi muncul selaku penjaring dengan menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti dan minit ke-51, Zhong Jiaqi meledak hatrik kali ini hasil gol padang yang merupakan gol kemenangan 4-0 China.

Mengulas mengenai aksi hari ini, Pengendali Skuad Wanita Negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, menjelaskan empat perlawanan dalam tempoh masa yang singkat merupakan satu situasi yang sukar dan menyebabkan pemainnya mula mengalami ketegangan otot.

Ini termasuk situasi di mana Hanis Nadiah mengalami kecederan di bahagian lutut yang menyukarkan pertukaran pemain dilakukan dan juga kecederaan yang di alami oleh Nuraini Abdul Rashid pada suku ketiga juga di bahagian lutut.

“Walaupun kami tewas 0-4 kepada China, tetapi pemain telah memberikan yang terbaik terutamanya pada separuh masa kedua.

“Kami kehilangan khidmat Hanis Nadiah Onn di awal permainan di mana dia telah mengalami kecederaan dan perkara tersebut menyukarkan kami untuk melakukan pengiliran pemain kerana kami terpaksa bermain dengan kekurangan pemain.

“Bagaimanapun pemain telah menunjukkan satu semangat juang yang cukup tinggi terutamanya ketika bertahan termasuk bertahan ketika pukulan sudut penalti yang menyaksikan kami berjaya menidakkan beberapa kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki lawan.

“Untuk aksi terakhir pusingan round robin bertemu Thailand, kami akan melakukan persediaan dengan sebaik mungkin termasuk ketika pukulan sudut penalti menyerang mahupun bertahan.

“Saya mahu setiap pemain kekal berdisiplin ketika bertahan, dan menyerang dengan baik agar berjaya meraih kemenangan pertama,” jelas beliau.

Esok, Skuad Wanita Negara akan berehat sebelum turun untuk aksi terakhir pusingan round robin pada Selasa (2 November) jam 6:30 petang, waktu Malaysia.