The Speedy Tigers berjaya bangkit daripada kekecewaan dalam perlawanan pertama dengan berpesta gol selepas melakar kemenangan besar 6-2 ke atas Kanada pada aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024.

Bermain di hadapan penyokong sendiri, Malaysia bagaimanapun terlebih dahulu dikejutkan dengan gol padang Kanada yang dijaringkan oleh Devohn Noronha Teixeira pada minit ke-12.

Namun, Fitri Saari hanya memerlukan masa seminit bagi memadam kelebihan gol Kanada dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meletakkan Malaysia didepan hasil gol padang pada minit ke-14.

Lima minit kemudian, Azimuddin Syakir Kamaruddin yang melakukan penampilan kali kedua bersama skuad senior membuka akaun gol pertamanya bersama Speedy Tigers.

Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menambah derita Kanada pada minit ke-31 apabila menyempurnakan hantaran Faizal Saari untuk gol keempat buat Malaysia sekali gus bergema sorakan kegembiraan penyokong-penyokong yang hadir di Stadium Azlan Shah.

Ketika Malaysia melancar serangan bertali arus ke gawang Kanada, pemain berpengalaman Kanada, Teixeira berjaya menemui jaringan kedua peribadinya pada minit ke-42 menerusi gol padang.

Tersentak dengan gol itu, Speedy Tigers pantas bangkit membalasnya dengan dua gol dalam tempoh dua minit masing-masing menerusi Syed Syafiq Syed Cholan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti di minit ke-48.

Disusuli ledakan penyerang sensasi negara, Faizal Saari yang melakukan larian pantas sebelum pukulan kencang ke kiri gawang yang dikawal oleh Zachary Coombs pada minit ke-49, untuk gol keenam Malaysia.

Jaringan itu juga menyaksikan Faizal mengumpul 141 gol sepanjang 174 penampilannya bersama Speedy Tigers di pentas antarabangsa.

Sementara itu, ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh menyifatkan kemenangan itu baik untuk motivasi pasukan tetapi masih ada banyak perkara perlu diperbaiki.

Jelasnya, barisan pertahanan masih bermasalah kerana melepaskan gol mudah kepada pihak lawan.

“Kami menjaringkan gol dalam tempoh pantas dan kami juga melepaskan gol pada permulaan permainan dan bangkit dengan dua gol selepas itu, dan seterusnya gol ketiga.

“Permulaan suku ketiga kita dapat gol awal dan Kanada jaringkan gol semula, selepas itu kita dapat dua gol dan memenangi perlawanan.

“Saya fikir kami masih banyak perlu diperbaiki terutama membenarkan dua gol mudah dijaringkan lawan (Kanada).

“Barisan pertahanan perlu dikukuhkan dan diperbaiki, saya ingin ingatkan lagi bahawa ini pasukan muda dan memerlukan masa untuk membentuk keserasian di antara pemain.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi dan komitmen ditunjukkan pemain, itu yang kita mahu lihat dalam pasukan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Patrick Tshutshani mengambil kekalahan ini daripada sudut positif dan mengakui serangan balas pantas Malaysia memberi kesukaran kepada pemain-pemainnya.

“Kami bermula baik pada awal perlawanan, semuanya berjalan lancar dan selepas itu kami kehilangan pengusaan bola serta bergelut dengan serangan balas pantas dilakukan Malaysia.

“Suku ketiga kami cuba bangkit tetapi dibolosi lagi. Seperti saya kata sebelum ini kami dalam proses pembentukan pasukan dan ia pengalaman bagus untuk tujuh pemain baharu yang kali pertama diturun bermain di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Tags: