Pasukan Hoki Lelaki Kebangsaan meletakkan misi jelas menjelang aksi kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir dari 1 hingga 8 Mac ini, iaitu mara ke final bagi mengesahkan tiket automatik ke pentas dunia.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh menegaskan sasaran itu bukan angan-angan kosong, sebaliknya bersandarkan kepada kualiti pemain serta komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang tempoh persiapan.
“Kita patut berada di final kerana kita mempunyai pemain (yang bagus) dan mereka telah bekerja keras. Mara ke perlawanan akhir kelayakan akan memastikan tempat kita di Piala Dunia.
“Apabila anda bermain untuk tempat ketiga dan keempat, ia akan menjadi satu lagi tekanan. Kami juga berada dalam keadaan yang kurang menguntungkan memandangkan perlawanan di tempat lain, iaitu satu lagi kelayakan di Chile akan turut bermula pada 1Mac,” katanya.
Tambah Sarjit lagi, perkembangan pasukan menunjukkan peningkatan memberangsangkan terutama dari sudut kecergasan dan daya tahan pemain yang kini berada pada tahap lebih baik berbanding sebelum ini.
Namun begitu, beliau mengakui masih terdapat ruang yang perlu diperkemaskan, khususnya di bahagian pertahanan dan sentuhan penyudah di hadapan gol.
“Kita perlu perbaiki benteng pertahanan. Pertahanan kini lebih kuat dan telah banyak meningkat sejak dua tahun lepas.
“Kita juga perlu mengambil peluang. Apabila dapat peluang kita mesti belajar bagaimana untuk mengusai permainan seawal mungkin dengan menjaringkan gol,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia merangkap pengurus pasukan hoki lelaki negara, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak berkata cabaran kali ini lebih mencabar kerana kejohanan berlangsung dalam bulan Ramadan.
Bagaimanapun, beliau yakin faktor itu tidak akan menjadi penghalang besar buat pemain negara yang sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.
“Kita sudah berbincang berkenaan perkara ini dan kita akui bukan mudah untuk bermain ketika berpuasa.
“Jadi kita sudah buat banyak program untuk pemain bagi memastikan mereka sentiasa terhidrasi dan bertenaga meskipun bermain ketika bulan puasa,” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan berpengalaman Asia, Pakistan, serta China dan Austria. Skuad negara akan membuka kempen menentang Austria pada 1 Mac, diikuti Pakistan sehari kemudian sebelum melengkapkan aksi kumpulan bertemu China pada 4 Mac.
Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir, dan pemenang aksi empat terbaik akan bertembung di final.
Bagi Speedy Tigers, laluan ke Mesir bukan sekadar satu kejohanan, tetapi medan membuktikan kematangan pasukan dan jika berjaya menepati sasaran ke final, impian untuk kembali beraksi di Piala Dunia akan menjadi kenyataan.











