Skuad hoki dalam dewan lelaki negara berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa bolos dalam pusingan round robin Temasya Sukan SEA Ke-30 Filipina 2019 selepas mencatat kemenangan 5-0 ke atas tuan rumah pada perlawanan terakhir pusingan tersebut yang berlangsung hari ini di LB Centtro Mall & Convention Center.
Dengan mengumpul 12 mata penuh, Malaysia menduduki tangga teratas akan bertemu Myanmar di kedudukan keempat bagi merebut slot ke final sementara satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan Thailand di kedudukan kedua dengan Singapura yang menduduki tangga ketiga.
Pengendali negara, Muhammad Amin Rahim yang dihubungi selepas tamat perlawanan menyifatkan pertarungan sebenar untuk skuad negara adalah aksi bertemu Myanmar esok kerana hanya kemenangan akan membawa Malaysia ke pentas final sekaligus menghampiri sasaran untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu.
“Alhamdulillah kami berjaya untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam pusingan round robin dan tentunya pemain layak untuk diberikan pujian atas persembahan yang telah mereka tunjukkan hari ini.
“Kini pertarungan sebenar akan bermula iaitu pertemuan dengan Myanmar esok dan saya mahu pemain tetap kekal fokus untuk memberikan yang terbaik dan bersedia sepenuhnya untuk aksi penting itu.
“Saya melihat Myanmar merupakan pasukan yang telah menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan mereka dan saya akan mengkaji semula pertemuan kami dengan mereka tempoh hari.
“Tentu sekali percaturan lain akan direncanakan menjelang perlawanan penting esok,” jelas Amin Rahim.
Aksi terakhir pusingan round robin hari ini menemukan Malaysia dengan Filipina di mana skuad negara mula merobek gawang pasukan lawan pada minit ketujuh menerusi gol gerakan padang yang disempurnakan Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad.
Malaysia turut menambah dua gol pada aksi separuh masa pertama menerusi dua gol pukulan sudut penalti yang diterjemahkan oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-15 dan ke-20 menerusi satu flik terus yang cukup deras untuk menewaskan penjaga gol lawan.
Bersambung aksi separuh masa kedua, Malaysia terus menambah bilangan gol kali ini hasil gerakan padang Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah pada minit ke-25 sebelum minit ke-27, Malaysia dihadiahkan dengan pukulan stroke dan giliran Shello Silverius untuk muncul selaku penjaring gol kemenangan pasukan negara.
Aksi separuh akhir akan berlangsung esok dengan pasukan negara akan turun jam 5.30 petang untuk membuat perhitungan dengan Myanmar bagi merebut slot ke pentas final.









