Skuad hoki dalam dewan wanita negara memulakan cabaran di temasya Sukan SEA 2019 Filipina dengan nota positif selepas mencatat kemenangan 15-0 dalam aksi pembukaan di LB Centtro Mall & Convention Centre, Laguna pada Rabu.
Turun dengan misi memburu pingat emas pada edisi kali ini, Malaysia yang dibimbing Muhammad Dharma Raj Abdullah membuka tirai jaringan seawal minit ke-2 menerusi pukulan sudut penalti Nur Aisyah Yaacob.
Malaysian Tigress terus menjarakkan pendahuluan apabila Ellya Syahirah Ellias serta Qasidah Najwa Muhammad Halimi masing-masing memanfaatkan peluang jaringan bagi kedudukan 3-0.
Tiga lagi jaringan terhasil selepas itu, antaranya menerusi pukulan sudut penalti Nur Aisyah serta jaringan padang Iren Hussin menyaksikan Malaysia mendahului 6-0 tamat separuh masa pertama.
Bersambung di babak berikutnya, Malaysia terus mengasak ke kubu pasukan Filipina dengan Wan Norfaezah Md Saiuti peroleh hatrik dalam tempoh tiga minit bagi terus meletakkan pasukannya di kedudukan selesa.
Qasidah Najwa serta Iren turut menambah satu lagi jaringan peribadi masing-masing bagi menyaksikan keputusan akhir 15-0 berpihak kepada Malaysia untuk menerajui saingan selepas tamat satu perlawanan.
“Kami berjaya mendapatkan jaringan daripada peluang yang dicipta tetapi saya tidak mahu pemain terbawa-bawa dengan kemenangan ini dan fokus kepada aksi berikutnya.
“Gelanggang di sini hampir sama seperti yang kami berlatih di Malaysia walaupun saiznya sedikit kecil tetapi kami sudah bersedia dengan keadaan ini,” jelas Dharma Raj.
Perlawanan lain menyaksikan Kemboja dan Singapura berkongsi mata selepas pertemuan kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan 3-3.
Skuad negara akan meneruskan cabaran dengan pertemuan menentang Singapura yang dijadualkan berlangsung pada Khamis, jam 2.15 petang.









