Sukan SEA 2019: Malaysian Tigress Raih Emas

Skuad hoki dalam dewan wanita negara capai sasaran meraih pingat emas pada saingan Sukan SEA 2019 Filipina selepas atasi Thailand dengan penentuan shoot-out dalam perlawanan akhir yang berlangsung di LB Centtro Mall & Convention Centre pada Selasa.

Selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 dalam liga sepusingan sebelum ini, corak permainan lebih sengit ditampilkan dalam pertemuan ini.

Nyata Thailand selaku juara bertahan tidak memberikan banyak ruang buat Malaysian Tigress untuk cuba menembusi kubu mereka.

Kebuntuan jaringan hanya terlerai pada minit ke-15 apabila jaringan padang Tikhamporn Sakulpithak meletakkan Thailand di hadapan.

Di sebalik asakan hebat yang diberikan oleh Malaysia, Thailand kental bertahan untuk menyaksikan pendahuluan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung dalam separuh masa berikutnya, skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah tampil dengan aksi lebih kemas untuk memberi tekanan kepada Thailand.

Hasilnya Qasidah Najwa Muhamad Halimi menyempurnakan jaringan padang minit ke-35 bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Keputusan itu kekal hingga tamat permainan, memaksa pemenang ditentukan menerusi shoot-out.

Wan Norfaiezah Saiuti serta Nuraini Rashid menyempurnakan pukulan masing-masing tatkala Tikhamporn dan Anongsat Piresram gagal berbuat demikian untuk Thailand, menyaksikan emas jadi milik Malaysian Tigress.

Sekaligus memperbaiki pencapaian dua tahun lalu di Kuala Lumpur di mana ketika itu mereka meraih pingat gangsa.

“Kami bermain dengan begitu baik sekali dalam perlawanan ini tetapi tidak dapat menjaringkan gol walaupun mempunyai beberapa peluang selain lima pukulan sudut penalti, Thailand hanya punyai satu peluang tetapi mendapat jaringan.

“Shoot-out merupakan antara kelebihan buat kami dan dimanfaatkan sebaik mungkin, satu kelegaan buat saya untuk meraih pingat emas ini selepas hanya dua bulan membimbing pasukan ini,” jelas Dharma Raj ketika dihubungi selepas perlawanan.