Terengganu dinobatkan selaku juara TNB Piala Tun Abdul Razak edisi ke-62, selepas mengecewakan Johor 2-1 yang beraksi di hadapan penyokong sendiri dalam perlawanan akhir hoki lelaki di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Merangkul gelaran ketiga, pasukan Pantai Timur itu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah pada kejohanan tersebut meskipun dikejutkan tuan rumah yang terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Muhammad Faris Ros Fadillah pada minit ke-26.

Barisan berpengalaman Terengganu kekal tenang sekalipun pintu gol mereka yang dikawal penjaga gawang Speedy Tigers, Zaimi Mat Deris dibolosi.

Terengganu yang melipat gandakan usaha mencari jaringan penyamaan akhirnya berhasil apabila Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak menyumbat gol pada minit ke-36 untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Skuad bimbingan Asrul Hisyam Ahmad itu terus mengasak ke kubu lawan dan kerja keras akhirnya berbayar dengan jaringan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-43 bagi meletakkan Terengganu mendahului 2-1.

Johor yang enggan berputih mata berusaha mencari jalan bagi mendapatkan jaringan penyamaan, namun, Zaimi mengawal kemas pintu gol pasukannya apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah.

Kemenangan yang diraih Terengganu menyaksikan mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 berserta trofi yang merupakan gelaran ketiga pada kejohanan itu selepas berbuat demikan pada 2012 dan 2016.

Tonggak kebangsaan, Faizal Saari muncul selaku penjaring terbanyak kejohanan selepas meledakkan 19 gol untuk Terengganu.

Trofi tersebut juga sebagai penutup kepada kejayaan penuh warna-warni skuad Pantai Timur itu bagi musim 2024, selepas mereka menamatkan saingan Liga Hoki Malaysia tahun ini sebagai naib juara.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 berkesudahan Pahang membelasah Perak 5-1.

Lima gol skuad Pantai Timur itu disumbangkan oleh Mohamad Shamir Rizmi Shamsul (minit ke-26), Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim (minit ke-32, ke-59), Muhammad Noor Firdaus Rosdi (minit ke-54) dan Syamil Azim Dzulkafly (minit ke-55).

Jaringan sagu hati yang diperoleh pasukan Perak dihadiahkan oleh Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-34.

Tags: