Terengganu terus mengorak langkah kanan selepas melakar kemenangan kedua berturut-turut dan kali ini, pasukan Pantai Timur itu menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 8-5 dalam aksi Kumpulan B pada TNB Piala Tun Abdul Razak 2024 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad bimbingan, Asrul Hisyam Ahmad itu mengungguli Kumpulan B setelah mengumpul enam mata, dipisahkan perbezaan jaringan dengan Perak yang turut mengumpul jumlah mata yang sama untuk menghuni tangga kedua.
Dalam aksi pembukaan, Terengganu menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-1.
Terengganu yang turut diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain kebangsaan antaranya Faizal dan Fitri Saari, penjaga gol, Muhammad Zaimi Mat Deris, Nik Muhamad Aiman Nik Rozemi, Muhammad Akhimullah Anuar Esook dan Syarman Mat Tee diberi tentangan sengit PDRM sejak awal saingan lagi.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan yang menyaksikan sebanyak 13 gol terhasil daripada pertemuan tersebut.
Lapan gol Terengganu diledakkan oleh Faizal (minit ke-5, ke-21, ke-22, ke-32, ke-50), Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak (minit ke-32, ke-56) dan Mohamad Akhimullah (minit ke-55).
Sementara itu, PDRM yang membalas lima gol disempurnakan menerusi Muhammad Rahimi Iskandar Baharom (minit ke-19, ke-30, ke-40), Muhammad Najme Ahmad Hayazi (minit ke-54) dan Mohamad Kahirul Anuar Zakaria (minit ke-58).
Pengurus Terengganu, Irawan Jusoh berkata, pasukannya turut membariskan pemain Bawah-21 Tahun dan sistem penggiliran diguna pakai bagi memberi pendedahan sewajarnya kepada pemain muda.
“Kami menggilirkan dengan pemain senior, strategi kami ialah untuk menjadikan pemain-pemain muda ini sebagai tulang belakang kepada pasukan pada masa depan,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan.
Beliau turut melahirkan rasa gembiranya dengan prestasi baik yang dipamerkan Terengganu sewaktu menentang PDRM yang merupakan salah sebuah pasukan pilihan pada kejohanan itu.
Jelasnya, pertemuan tersebut tidak mudah dan pasukannya dijangka berdepan pencabar yang lebih kuat selepas ini.
“Perlawanan hari ini, saya anggap sebagai satu ujian untuk para pemain terutamanya dalam kalangan pemain muda.
“Ini merupakan satu pengalaman yang baik buat mereka kerana semakin kami mengorak langkah ke hadapan semakin kuat pasukan yang bakal kami hadapi, jadi, pertemuan ini satu persediaan yang cukup baik buat kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, dua lagi perlawanan di Kumpulan B yang turut berlangsung, hari ini, Perak mengalahkan Negeri Sembilan 2-1 dan Sabah menewaskan Melaka juga 2-1.
Untuk saingan Kumpulan A, Kuala Lumpur membelasah Singapura 7-0, manakala, Pahang menewaskan Perlis 7-2.