
Terengganu Hockey Team (THT) dan Blue Warriors mendominasi sepenuhnya saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 apabila meraih kejuaraan treble selepas memenangi kesemua tiga piala yang ditawarkan pada musim ini.
Pasukan dari Pantai Timur itu, melengkapkan kejuaraan treble selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi penalti shoot-out apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada final Piala TNB 2025 yang berlangsungdi Padang 2 Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Dalam aksi final disaksikan ribuan peminat hoki tanah air yang memenuhi stadium, TNB terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyudah pukulan sudut penalti dilakukan Jang Jong Hyun pada minit ketiga.
Tersentak dengan jaringan itu, THT bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-18 menerusi penyudah pukulan sudut penalti oleh Muhammad Arif Syafie Ishak.
Meskipun kedua-dua pasukan saling mengasak kubu masing-masing namun tiada jaringan berjaya dihasilkan sekali gus pemenang perlu ditentukan menerusi penalti shoot-out dan ternyata pengalaman barisan pemain THT menjadi kelebihan apabila mereka tenang menyudahkan pukulan berkenaan manakala TNB buntu untuk menewaskan penjaga gol lawan, Muhammad Hafizuddin Othman.
Ketua Jurulatih THT, Mohd Hafizi Baharom memuji semangat juang ditunjukkan barisan pemainnya walaupun menerima saingan sengit daripada pasukan TNB pada aksi final.
Beliau turut bangga dengan pencapaian anak buahnya yang mengekalkan rekod bersih apabila tidak tewas dalam kesemua perlawanan musim ini sekali gus memastikan Piala Sumbangsih, TNB MHL Kategori Premier dan Piala TNB 2025 menjadi milik mereka.
“Pertama saya bangga dengan pemain-pemain yang berjaya habiskan saingan musim ini dengan rekod bersih, tanpa kalah. Kita memang menjangkakan perlawanan dengan TNB sengit kerana TNB pasukan yang kuat dan mereka menunjukkan peningkatan sejak tewas pada Piala Sumbangsih.
“Secara keseluruhan semua pemain telah berikan yang terbaik dan menunjukkan semangat juang cukup tinggi. Terima kasih kepada penyokong dan semua pihak yang memberi sokongan penuh kepada THT,” katanya selepas perlawanan.
Ketika ditanya tentang saingan musim depan dan tekanan yang bakal dihadapi untuk mempertahankan kejuaraan, Mohd Hafizi mengakui kejayaan hari ini akan menjadi motivasi kepadapemain-pemain untuk meningkatkan prestasi mereka.
“Saya rasa mereka akan mengambil perkara ini sebagai motivasi untuk terus berkembang ke arah lebih baik pada masa akan datang. Mereka kena berjaga-jaga kerana cabaran akan datang akan lebih mencabar dan perlu bersiap sedia daripada sekarang untuk mempertahankan kejuaraan,” jelasnya.
Terdahulu, Maybank menamatkan saingan di kedudukan ketigaselepas menang 2-1 ke atas Matador Hockey Club.
Sementara itu, untuk final Piala Vivian May Soars, Blue Warriors berjaya menjinakkan Malaysian University 3-2 menerusi penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi yang berlangsung di Padang 2 Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Kemenangan tersebut, membolehkan Blue Warriors mencipta sejarah tersendiri selepas meraih kejuaraan treble, mereka sebelum ini telah menjulang Piala Sumbangsih serta TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025, Kategori Wanita.
Pengendali Blue Warriors, Megat Azrafiq Megat Termizi akui semangat juang dan keinginan tinggi anak buahnya untuk mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan menjadi kunci kepada kejayaan treble ini.
“Alhamdulillah kejayaan treble ini merupakan satu pencapaian amat besar dalam karier saya dan juga pemain. Tidak dinafikan semangat juang dan keinginan tinggi mereka menjadi kunci kepada kemenangan kami.
“Sebelum masuk padang, saya meminta mereka supaya tidak fikirkan piala tetapi saya mahu mereka merasakan kepuasan selepas habis perlawanan.
“Sama ada kita menang atau kalah, janji mereka puas dengan apa diberikan. Ia menjadi kunci kepada kejayaan diraih musim ini.
“Semua sedia maklum pemain-pemain dalam pasukan saya sudah berusia dan kemungkinan akan ada yang bersara. Jadi kita mahu hadiahkan persaraan mereka dengan kejayaan yang luar biasa, itu juga faktor kejayan ini.
“Pujian juga harus diberikan kepada pasukan Malaysian University kerana mereka beri saingan yang sangat-sangat sengit, peluang mereka juga ada untuk menang tetapi rezeki lebih memihak kepada kami,” katanya.
Satu lagi aksi perebutan tempat ketiga dan keempat menyaksikan Negeri Sembilan menang 3-2 ke atas QNET Phoenix.