
Empat pasukan iaitu Terengganu Hockey Team (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank dan Matador Hockey Club berjaya mara ke separuh akhir Piala TNB 2025 selepas menewaskan lawan masing-masing di pusingan lapan terbaik.
Juara bertahan, TNB mencatat kemenangan besar dengan membelasah Liaoning Men’s Hockey Team 8-2 pada aksi sukua khir yang berlangsung di Stadium Hoki KPM, Lembah Pantai, hari ini.
Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjadi penjaring terbanyak untuk TNB dalam perlawanan itu selepas meledak lima gol manakala Mohammad Haris Iskandar Osman mencetak dua gol dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menjaringkan satu gol.
Dua gol Liaoning Men’s pula dijaringkan oleh Wang Yubo dan kapten pasukan, Dong Yang.
Bagi pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan pertemuan dengan Maybank di separuh akhir adalah berbeza dengan pertembungan di saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025.
“Ia adalah perlawanan berbeza walaupun menang dengan Maybank 3-0 pada aksi liga. Kita kena berhati-hati terutama dengan serangan balas pantas dan pukulan sudut penalti Maybank.
“Kita perlu kurangkan kesilapan dan perlu mencipta banyak peluang dalam kawasan D lawan untuk memenangi perlawanan itu untuk mara ke final,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, THT yang telah menggenggam dua kejuaraan iaitu Piala Sumbangsih dan Kejuaraan TNB MHL 2025, Kategori Premier semakin menghampiri gelaran treble.
Kelab dari pantai Timur itu mara ke separuh akhir selepas mengetepikan Armed Forces HT di suku akhir dengan kemenangan 8-3.
Faizal Saari mencipta hatrik dalam perlawanan itu manakala Mohamad Akhimullah Anuar Esook meledak dua gol dan Mohd Fitri Saari, Muhamad Faris Harizan serta Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil masing-masing menjaringkan satu gol.
Gol Armed Forces HT dijaringkan oleh Ismail Abu yang meledak dua gol dan Mohammad Noor Firdaus Rosdi satu.
Ketua Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom mengakui berpuashati dengan persembahan anak buahnya yang mampu mengekalkan tempo permainan dan akan berdepan Matador Hockey Club di separuh akhir.
“Alhamdullilah pemain-pemain berjaya mengekalkan tempo permainan sehingga minit terakhir dan lapan jaringan dapat dihasilkan walaupun menerima sedikit tekanan daripada pasukan ATM semasa mereka mengikat kedudukan 1-1.
“Tetapi pemain-pemain sudah bersedia awal untuk perkara itu dan berjaya mengawal perlawanan. Untuk kejuaraan treble kita akan tumpukan dahulu perlawanan separuh akhir terlebih dahulu,” katanya.
Dua lagi aksi suku akhir menyaksikan Maybank menang 2-0 keatas UiTM HA-KPT manakala Matador Hockey Club menewaskan TNB Thunderbolts 2-1 untuk mara ke separuh akhir Piala TNB.